Monday, 27 October 2025

PELAKU RASUAH DILAKNAT ALLAH DAN RASUL

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

PELAKU RASUAH DILAKNAT ALLAH DAN RASUL

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi, No. 1337)
Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Amalan memberi dan menerima rasuah adalah perbuatan keji yang bukan sekadar haram, tetapi termasuk dalam dosa besar, dan pelakunya dilaknat oleh Allah SWT serta Rasulullah SAW.


2. Rasuah ialah sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau menegakkan kebatilan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, 22/219)


3. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah bermaksud penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu berkaitan tugas rasmi. Suapan boleh berupa wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, diskaun dan sebagainya.


4. Rasuah bukan sekadar salah laku moral, tetapi merupakan pengkhianatan terhadap amanah, masyarakat dan agama. Ia membawa kepada ketidakadilan, kezaliman, penindasan dan keruntuhan sistem sosial.


5. Rasulullah SAW juga bersabda:
الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي فِي النَّارِ
Maksudnya: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah berada dalam neraka.”
(Hadis Riwayat al-Tabarani dalam al-Kabir, No. 4415)
Status: Sahih


6. Setiap pemberian atau penerimaan sesuatu dengan jalan yang batil adalah dosa besar dan dilarang oleh Allah SWT:



وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang lain antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan sebahagian dari harta manusia dengan dosa, sedangkan kamu mengetahuinya.”
(Surah al-Baqarah: 188)
7. Pemberi dan penerima rasuah akan dijauhkan daripada rahmat, kasih sayang dan keampunan Allah. Ini amaran keras kerana tidak semua dosa dilaknat oleh Allah, namun rasuah termasuk di antaranya.

➡️ Jangan sekali-kali terlibat dengan rasuah yang membawa laknat Allah dan Rasul-Nya.

📅 06 Jamadil Awal 1447H / 28 Oktober 2025M

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...