السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
PESANAN BUAT MUSAFIR
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُسَافِرَ فَأَوْصِنِي.
قَالَ: عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللهِ وَالتَّكْبِيرِ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ.
فَلَمَّا أَنْ وَلَّى الرَّجُلُ قَالَ: اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa ada seorang lelaki berkata:
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku hendak bermusafir, maka berilah wasiat kepadaku.”
Baginda bersabda: “Engkau hendaklah bertakwa kepada Allah dan bertakbir ketika menaiki tempat yang tinggi.”
Kemudian ketika lelaki itu ingin pergi, Baginda SAW berdoa untuknya:
“Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya dan mudahkanlah perjalanannya.”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi, No. 3445)
Status: Hasan
Pengajaran:
1. Ramai dalam kalangan kita mengambil kesempatan untuk bermusafir sama ada bercuti bersama keluarga atau menziarahi ahli keluarga. Sebelum bermusafir, mintalah nasihat daripada orang soleh atau berilmu kerana wasiat yang baik menjadi panduan dalam perjalanan.
2. Musafir boleh menjadi ibadah jika diniatkan dengan baik, seperti menuntut ilmu, ziarah, berniaga secara halal, atau berjihad. Maka perjalanan itu hendaklah disertai adab dan amalan sunnah.
3. Antara pesanan Rasulullah SAW kepada orang yang ingin bermusafir:
 a. Sentiasa bertakwa kepada Allah SWT sebagai bekalan utama.
 b. Apabila menaiki tempat tinggi hendaklah bertakbir.
4. Syeikh al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi (9/406) menjelaskan bahawa pesanan ini bermaksud supaya orang yang bermusafir:
 a. Sentiasa bertakwa kepada Allah SWT.
 b. Menjauhi maksiat kepada-Nya.
 c. Mengingati kebesaran Allah dan bersyukur atas kurniaan-Nya.
5. Doa yang diajar Nabi SAW untuk musafir:
 اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ
 Maksudnya: “Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya dan mudahkanlah perjalanannya.”
04 Jamadil Ula 1447H
26 Oktober 2025M
 
 

No comments:
Post a Comment