السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
ZAKAT MENGHILANGKAN KEBURUKAN
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: قَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ إِنْ أَدَّى الرَّجُلُ زَكَاةَ مَالِهِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ أَدَّى زَكَاةَ مَالِهِ فَقَدْ ذَهَبَ عَنْهُ شَرُّهُ
(Hadis riwayat Ibn Khuzaymah, 4/13; al-Hakim, 1/390. Status: Hadis Hasan)
Maksudnya:
Daripada Jabir bin Abdullah RA, beliau berkata: Seorang lelaki dari kalangan kaum itu bertanya:
“Wahai Rasulullah, bagaimana jika seseorang itu menunaikan zakat hartanya?”
Lalu Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menunaikan zakat hartanya, maka hilanglah keburukan (bahaya) daripada hartanya.”
---
Pengajaran:
1. Menunaikan zakat menyucikan harta daripada hak orang lain, sekali gus menghindarkan bala, musibah dan kemurkaan Allah akibat kedekut atau menzalimi hak orang miskin.
2. Harta yang tidak dizakatkan berpotensi membawa keburukan seperti hilang keberkatan, menjadi penyebab azab di akhirat bahkan boleh membawa bala di dunia.
3. Zakat bukan sahaja menyucikan harta tetapi juga jiwa pemberinya, menjadikannya lebih tenang dan diberkati.
4. Orang yang menunaikan zakat menyempurnakan tanggungjawab agama serta bebas daripada dosa dan tuduhan mengabaikan hak orang lain.
5. Zakat mengekalkan keharmonian sosial dengan mengelakkan jurang antara si kaya dan si miskin, serta menghapuskan rasa benci dan iri hati.
6. Islam menitikberatkan keseimbangan antara hak individu dan hak masyarakat. Zakat memastikan kekayaan tidak hanya berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja.
7. Menunaikan zakat bukan sekadar transaksi kewangan tetapi pembentuk keperibadian dermawan dan menjauhkan diri daripada cinta dunia yang melampau.
8. Bagi mereka yang memiliki harta yang dikenakan zakat seperti wang simpanan, emas, perak, pendapatan tetap atau pelaburan yang cukup nisab dan haul, hendaklah menunaikannya dengan ikhlas kerana ia membawa keberkatan serta perlindungan daripada Allah SWT.
---
13 Rabiul Akhir 1447H
05 Oktober 2025M
No comments:
Post a Comment