Tuesday, 25 November 2025

BERBAKTI KEPADA IBU

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

BERBAKTI KEPADA IBU

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ:
أَتَى رَجُلٌ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مَا تَأْمُرُنِي؟ قَالَ: بَرَّ أُمَّكَ. ثُمَّ عَادَ فَقَالَ: بَرَّ أُمَّكَ. ثُمَّ عَادَ فَقَالَ: بَرَّ أُمَّكَ. ثُمَّ عَادَ الرَّابِعَةَ فَقَالَ: بَرَّ أَبَاكَ

Terjemahan:
Daripada Abu Hurairah RA, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah yang engkau perintahkan kepadaku?” Baginda bersabda: “Berbaktilah kepada ibumu.” Lelaki itu mengulangi pertanyaannya, dan Baginda tetap menjawab: “Berbaktilah kepada ibumu.” Hingga kali ketiga Baginda menjawab sama. Pada kali keempat, Baginda bersabda: “Kemudian berbaktilah kepada bapamu.”
(HR Ahmad No: 8850) — Status: Hasan


---

Pengajaran:

1. Berbakti kepada ibu adalah kewajipan tertinggi seorang anak selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul.


2. Ibu didahulukan kerana menanggung tiga kepayahan besar:
a. Ketika mengandung.
b. Ketika melahirkan.
c. Ketika menyusu dan membesarkan anak.


3. Walaupun ibu lebih utama, ayah tetap memiliki hak yang wajib ditaati, dihormati dan dibalas jasanya kerana menjadi pelindung serta pemberi nafkah keluarga.


4. Keutamaan anak ialah mendahulukan khidmat kepada ibu, kemudian kepada bapa.


5. Islam menuntut umatnya menghargai pengorbanan kedua ibu bapa sebagai tanda syukur kepada Allah SWT.


6. Berbakti kepada ibu bapa adalah ibadah besar yang mendekatkan diri kepada Allah SWT serta menjadi jalan menuju syurga bagi mereka yang melaksanakannya dengan penuh hormat, kasih dan ikhlas.




---

05hb Jamadil Akhir 1447H
26hb November 2025M

Saturday, 22 November 2025

MENCELA IBU BAPA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

MENCELA IBU BAPA

Hadis Penuh
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مِنْ الْكَبَائِرِ أَنْ يَشْتُمَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ» قَالُوا: «يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَهَلْ يَشْتُمُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ؟» قَالَ: «نَعَمْ، يَسُبُّ أَبَا الرَّجُلِ فَيَشْتُمُ أَبَاهُ، وَيَشْتُمُ أُمَّهُ فَيَسُبُّ أُمَّهُ.»

Terjemahan
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

> “Termasuk dalam dosa-dosa besar ialah apabila seseorang mencela kedua-dua orang tuanya.”
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bolehkah seseorang mencela kedua orang tuanya?” Baginda menjawab, “Ya — dia mencela bapa seseorang, lalu orang itu pun mencela bapanya; dan dia mencela ibu seseorang, lalu orang itu pun mencela ibunya.”



Sumber / Status

Riwayat: Sunan at-Tirmidhi No. 1824

Penilaian: Hasan Sahih


Pengajaran

1. Mencela ibu bapa adalah satu dosa besar.


2. Tindakan mencela ibu bapa orang lain boleh menimbulkan “rantaian” penghinaan — orang lain akan membalas mencela ibu bapa diri sendiri.


3. Kita wajib menjaga percakapan dan akhlak agar tidak sampai mencaci atau menghina ibu bapa orang lain.


4. Hormatilah ibu bapa sendiri, serta ibu bapa orang lain — ini menunjukkan akhlak mulia dalam Islam.


5. Redha Allah bergantung pada redha ibu bapa; begitu juga kemurkaan Allah jika mereka dimurkai.


6. Sentiasa merendah diri dan berlemah lembut kepada ibu bapa, serta berdoa:

> “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang ketika mendidikku dahulu.” (sesuai makna al-Isra’: 24)




7. Jika pernah melakukan perbuatan mencela, penting untuk bertaubat, memperbaiki akhlak dan memperhatikan kata-kata kita.



Tarikh
02 Rabi’ akhir 1447H
23 November 2025M

Friday, 21 November 2025

ANAK TIDAK MAMPU MEMBALAS JASA IBU BAPA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

ANAK TIDAK MAMPU MEMBALAS JASA IBU BAPA

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَجْزِي وَلَدٌ وَالِدًا إِلَّا أَنْ يَجِدَهُ مَمْلُوكًا فَيَشْتَرِيَهُ فَيُعْتِقَهُ

Terjemahan:
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Seorang anak tidak akan mampu membalas kebaikan kedua ibu bapanya, kecuali jika dia menemui kedua-duanya sebagai hamba sahaya, lalu dia membeli dan memerdekakan mereka.”
(Hadis Riwayat Tirmizi, No. 1829 — Status: Hasan Sahih)

Pengajaran:

1. Pengorbanan ibu bapa sangat besar, bermula daripada mengandung, melahirkan, membesarkan hingga mendidik anak.


2. Seorang anak tidak akan mampu membalas seluruh jasa ibu bapanya walaupun dengan harta, tenaga dan masa.


3. Kewajipan berbakti tidak pernah terhenti walaupun setelah kedua ibu bapa meninggal dunia.


4. Perumpamaan Nabi SAW menunjukkan bahawa jasa ibu bapa terlalu besar sehingga mustahil untuk ditebus.


5. Tiada balasan duniawi yang menyamai susah payah dan kasih sayang ibu bapa terhadap anak.


6. Anak hendaklah sentiasa berusaha menggembirakan, mendoakan dan berkhidmat kepada kedua ibu bapanya sebagai jalan menuju keredaan Allah SWT.



Daripada ibu bapa kita dilahirkan dan dibesarkan. Berbuat baiklah kepada mereka selama hayat masih ada.

01hb Jamadil Akhir 1447H
22hb November 2025M

Thursday, 20 November 2025

GEMBIRAKAN IBU BAPA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

GEMBIRAKAN IBU BAPA

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ جِئْتُ أُبَايِعُكَ عَلَى الْهِجْرَةِ وَتَرَكْتُ أَبَوَيَّ يَبْكِيَانِ، فَقَالَ: ارْجِعْ عَلَيْهِمَا فَأَضْحِكْهُمَا كَمَا أَبْكَيْتَهُمَا
(HR Abu Daud, 2166 – Sahih)

Terjemahan:
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, beliau berkata: Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata, “Aku datang membaiah engkau untuk berhijrah, sedangkan aku meninggalkan kedua ibu bapaku dalam keadaan menangis.” Baginda bersabda: “Kembalilah kepada mereka berdua dan gembirakanlah mereka sebagaimana engkau telah membuat mereka menangis.”


---

Pengajaran:

1. Kewajipan anak ialah sentiasa menggembirakan kedua ibu bapanya.


2. Berbakti kepada ibu bapa adalah kewajipan besar selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.


3. Rasulullah SAW menekankan agar kesedihan yang ditimbulkan kepada ibu bapa ditebus dengan menggembirakan mereka kembali.


4. Restu dan perasaan ibu bapa perlu diambil kira dalam setiap keputusan besar kehidupan.


5. Kebahagiaan ibu bapa adalah tanda keimanan dan akhlak yang mulia.


6. Reda Allah bergantung pada reda kedua ibu bapa, sebagaimana sabda Nabi SAW:
رِضَا الرَّبِّ فِى رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسُخْطُهُ فِى سُخْطِهِمَا
“Reda Allah terletak pada reda kedua orang tua, dan murka Allah pada murka kedua orang tua.”


7. Lakukan perkara yang membawa kegembiraan kepada mereka di dunia dan menjadi sebab kebahagiaan mereka di akhirat.



30 Jamadil Awal 1447H
21 November 2025M

Monday, 17 November 2025

Menghubungkan Silaturahim Sahabat Kedua Ibu bapa

*ASALAMULAIKUM WBT.*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Menghubungkan Silaturahim Sahabat Kedua Ibu bapa*

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَجُلًا مِنْ الْأَعْرَابِ لَقِيَهُ بِطَرِيقِ مَكَّةَ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ عَبْدُ اللَّهِ وَحَمَلَهُ عَلَى حِمَارٍ كَانَ يَرْكَبُهُ وَأَعْطَاهُ عِمَامَةً كَانَتْ عَلَى رَأْسِهِ فَقَالَ ابْنُ دِينَارٍ فَقُلْنَا لَهُ أَصْلَحَكَ اللَّهُ إِنَّهُمْ الْأَعْرَابُ وَإِنَّهُمْ يَرْضَوْنَ بِالْيَسِيرِ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ إِنَّ أَبَا هَذَا كَانَ وُدًّا لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ أَبَرَّ الْبِرِّ صِلَةُ الْوَلَدِ أَهْلَ وُدِّ أَبِيهِ

_*Daripada Abdullah bin Umar RA dia berkata; "Seorang laki-laki desa bertemu dengannya di salah satu jalan menuju kota Mekah. Lalu Abdullah memberi salam kepadanya dan menaikkannya ke atas keldai yang ditungganginya, dan memberinya serban yang sedang dipakainya di kepala." Kata Ibnu Dinar; "Maka kami berkata kepada Abdullah bin Umar; 'semoga Allah membalas kebaikan kamu. Sesungguhnya orang desa itu lebih suka yang sederhana." Jawab Abdullah; "Sesungguhnya bapa orang ini dahulu adalah sahabat baik Umar bin al-Khathab (ayahnya). Aku mendengar Rasulullah SAW  bersabda: "Sesungguhnya sebaik-baik bentuk kebaktian  ialah apabila seorang anak melanjutkan hubungan (silaturahim) dengan keluarga sahabat baik ayahnya."*_ (HR Muslim No: 4629) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Berbuat baik kepada kedua ibu bapa bukan sahaja semasa hidup mereka, malah perlu berterusan selepas keduanya meninggal dunia.

2.  Selain daripada mendoakan kebaikan untuk kedua ibu bapa, seorang anak juga disuruh menghubungkan ukhuwah dan silaturahim dengan keluarga  dan sahabat ibu bapa.

3.  Berbuat baik dengan sahabat baik ibu bapa juga adalah antara cara berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia. Islam menuntut kita menghargai hubungan silaturahim dan kasih sayang yang berpanjangan.

4.  Menurut Imam al-Nawawi: Kebaktian yang paling sempurna selepas kewafatan ibu bapa ialah dengan si anak menjaga hubungan dan berbuat baik kepada orang-orang yang pernah menjadi sahabat dan teman rapat kepada ibu bapanya.

5.  Kebaikan yang kecil tetap bernilai besar di sisi Allah seperti menumpangkan seseorang menaiki kenderaan menuju ke sesuatu tempat  juga memberi pakaian, walaupun kepada seorang Badwi, dikira sebagai amal kebajikan yang agung.

Semoga kita sentiasa berbakti kepada ibu bapa walaupun mereka telah meninggal dunia dengan cara menghubungkan silaturahim keluarga dan sahabat handai ibu bapa.

*Bersama membina keluarga bahagia. Kasih Keluarga, Bahagia Bersama*

27hb Jamadil Awal 1447H
18hb November 2025M

Sunday, 16 November 2025

AMALAN ANAK SOLEH

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

AMALAN ANAK SOLEH

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ أُمِّيَ افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا، وَإِنِّي أَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ، فَلِي أَجْرٌ أَنْ أَتَصَدَّقَ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ
(HR Muslim No. 3082 – Sahih)

Terjemahan:
Daripada ‘Aisyah RA bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia secara tiba-tiba, dan aku menyangka bahawa sekiranya dia sempat berbicara, pasti dia akan bersedekah. Adakah aku akan mendapat pahala jika aku bersedekah bagi pihaknya?” Baginda SAW bersabda: “Ya.”

Pengajaran:

1. Anak soleh sentiasa berbakti kepada ibu bapanya semasa hidup dan selepas mereka meninggal dunia.


2. Doa, sedekah dan amal jariah anak memberi manfaat kepada ibu bapa yang telah tiada.


3. Pahala amalan soleh yang diniatkan untuk ibu bapa akan sampai kepada mereka.


4. Menurut al-Imam al-Qurtubi, berbuat baik selepas kematian ibu bapa merangkumi:
a) Doa kepada mereka
b) Sedekah atas nama mereka
c) Menunaikan nazar atau hajat yang belum terlaksana
d) Menghubungkan silaturahim dengan sahabat mereka


5. Hadis ini menggalakkan anak meneruskan kebajikan sebagai tanda bakti berpanjangan kepada ibu bapa.



26 Jamadil Awal 1447H
17 November 2025M

Saturday, 15 November 2025

PEMBERIAN PADA ANAK MENJADI PELINDUNG NERAKA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PEMBERIAN PADA ANAK MENJADI PELINDUNG NERAKA

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: دَخَلَتِ امْرَأَةٌ مَعَهَا ابْنَتَانِ لَهَا تَسْأَلُ، فَلَمْ تَجِدْ عِنْدِي شَيْئًا إِلَّا تَمْرَةً، فَأَعْطَيْتُهَا إِيَّاهَا، فَقَسَمَتْهَا بَيْنَ ابْنَتَيْهَا، وَلَمْ تَأْكُلْ مِنْهَا، ثُمَّ قَامَتْ فَخَرَجَتْ. فَدَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْنَا، فَأَخْبَرْتُهُ، فَقَالَ: مَنْ ابْتُلِيَ مِنْ هَذِهِ الْبَنَاتِ بِشَيْءٍ فَأَحْسَنَ إِلَيْهِنَّ، كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنَ النَّارِ

Terjemahan:
Daripada ‘Aisyah RA berkata: Seorang wanita datang bersama dua anak perempuannya meminta sesuatu kepadaku. Aku tidak mempunyai apa-apa kecuali sebiji kurma, lalu aku memberikannya kepada wanita itu. Wanita itu membahagi kurma tersebut kepada dua dan memberikannya kepada kedua-dua anaknya, sedangkan dia sendiri tidak makan sedikit pun. Kemudian wanita itu bangun dan keluar. Selepas itu Nabi SAW masuk, lalu aku menceritakan hal tersebut kepada baginda. Baginda bersabda: “Sesiapa yang diuji dengan kehadiran anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”

Sumber: Riwayat al-Bukhari (1418) & Muslim (2629). Status: Sahih.


---

PENGAJARAN

1. Menjadi tanggungjawab ibu bapa menyediakan makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan keperluan asas anak-anak.


2. Ibu bapa yang soleh akan mendahulukan keperluan anak-anak walaupun dalam keadaan sempit.


3. Setiap pemberian dan pengorbanan untuk anak, termasuk makanan dan pendidikan, menjadi sebab perlindungan daripada api neraka.


4. Anak perempuan bukan beban, tetapi rahmat dan menjadi salah satu pintu untuk ibu bapa menuju syurga.


5. Menurut Imam al-Nawawi, mendidik anak perempuan memerlukan kesabaran dan perhatian. Sesiapa yang sabar dan berbuat baik kepada mereka, maka anak-anak itu akan menjadi pelindung daripada api neraka.


6. Islam memuliakan ibu bapa khususnya para ibu yang berkorban untuk anak-anak. Kasih sayang dan kesabaran mereka mendapat ganjaran besar di sisi Allah.



25 Jamadil Awal 1447H
16 November 2025M

Friday, 14 November 2025

TANGAN DI ATAS LEBIH BAIK DARIPADA DI BAWAH

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

TANGAN DI ATAS LEBIH BAIK DARIPADA DI BAWAH

عَنْ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ وَخَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ

Terjemahan:
Daripada Hakim bin Hizam RA, Nabi SAW bersabda:
“Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Mulakanlah pemberianmu kepada orang yang berada di bawah tanggunganmu. Sedekah yang paling baik ialah daripada lebihan keperluan. Sesiapa yang menjaga kehormatan dirinya (daripada meminta), Allah akan memeliharanya; dan sesiapa yang berusaha mencukupkan dirinya, Allah akan mencukupkannya.”
(Hadith Riwayat Bukhari, No. 1338 – Sahih)

Pengajaran Hadis:

1. Tangan yang di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang meminta).


2. Islam mendorong umatnya menjadi pemberi, bukan pengemis atau bergantung harap kepada orang lain.


3. Pemberian dan sedekah wajib dimulakan kepada ahli keluarga yang berada di bawah tanggungan.


4. Sedekah terbaik ialah daripada lebihan keperluan; Islam tidak menggalakkan seseorang bersedekah sehingga memudaratkan diri dan keluarga.


5. Ketua keluarga dituntut mencari rezeki dan tidak meminta-minta.


6. Allah akan memelihara dan mencukupkan keperluan orang yang berusaha menjaga maruah dirinya.


7. Umat Islam ditarbiah supaya berdikari, bekerja, dan tidak hidup bergantung kepada belas kasihan orang lain.



24hb Jamadil Awal 1447H
15hb November 2025M

Thursday, 13 November 2025

SEDEKAH MENGIKUT KEUTAMAAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

SEDEKAH MENGIKUT KEUTAMAAN

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَصَدَّقُوا، فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، عِنْدِي دِينَارٌ، قَالَ: تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ، قَالَ: عِنْدِي آخَرُ، قَالَ: تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ، قَالَ: عِنْدِي آخَرُ، قَالَ: تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ، قَالَ: عِنْدِي آخَرُ، قَالَ: تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ، قَالَ: عِنْدِي آخَرُ، قَالَ: أَنْتَ أَبْصَرُ

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Bersedekahlah kalian.” Lalu seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, aku memiliki satu dinar.” Baginda bersabda: “Bersedekahlah dengannya untuk dirimu.” Lelaki itu berkata: “Aku masih ada yang lain.” Baginda bersabda: “Bersedekahlah untuk isterimu.” Lelaki itu berkata: “Aku masih ada yang lain.” Baginda bersabda: “Bersedekahlah untuk anakmu.” Lelaki itu masih berkata: “Aku ada yang lain.” Baginda bersabda: “Bersedekahlah kepada pembantumu.” Lelaki itu berkata lagi: “Aku ada yang lain.” Maka baginda bersabda: “Engkau lebih tahu siapa yang lebih berhak engkau beri.”
(HR al-Nasai, No. 2488) — Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW menganjurkan agar sentiasa bersedekah apabila memiliki harta kerana setiap pemberian itu adalah pahala.


2. Pensyariatan sedekah mengikut tertib keutamaan: i. Untuk diri sendiri — memenuhi hak tubuh badan seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan kesihatan.
ii. Untuk isteri — nafkah wajib yang menjadi tanggungjawab suami.
iii. Untuk anak — makan minum, pendidikan dan keperluan asas.
iv. Untuk pembantu, pekerja atau sesiapa yang berada di bawah tanggungan.
v. Kepada orang lain yang dirasakan layak dan perlu.


3. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sedekah kepada diri sendiri bermaksud menggunakan harta secara halal untuk keperluan hidup bagi mengelakkan diri daripada meminta-minta.


4. Sedekah paling utama ialah yang memberi manfaat paling besar dan dimulakan dengan mereka yang berada di bawah tanggungjawab kita.



23 Jamadil Awal 1447H
14 November 2025

Sunday, 9 November 2025

MUKMIN PALING SEMPURNA IMAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

MUKMIN PALING SEMPURNA IMAN

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا، وَخِيَارُهُمْ خِيَارُهُمْ لِنِسَائِهِمْ

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda:
"Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang terbaik di antara mereka ialah yang paling baik terhadap isterinya."
(HR Ahmad No: 7095)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Kesempurnaan iman seseorang diukur melalui akhlak dan budi pekertinya.


2. Orang yang memiliki iman sempurna ialah yang menggabungkan kekuatan iman dengan akhlak mulia — lemah lembut, sabar, berlapang dada, memaafkan, serta menjauhi sifat kasar dan sombong.


3. Kemuliaan akhlak seorang lelaki paling jelas dilihat pada sikapnya terhadap isterinya. Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa kebaikan lelaki kepada isteri termasuklah:
• Bertutur dengan lembut
• Menafkahkan dengan ihsan
• Bersabar dengan kelemahan isteri
• Menzahirkan kasih sayang serta penghormatan


4. Kebaikan sebenar bermula dalam rumah tangga. Seorang yang baik kepada isterinya menunjukkan kekuatan iman, keperibadian dan kepimpinan rohani dalam keluarga.


5. Akhlak baik terhadap wanita adalah tanda kemuliaan dan keimanan. Islam menolak kezaliman, kekasaran dan penghinaan terhadap wanita dalam apa jua bentuk.


6. Berakhlak baik, berlemah lembut dan penyayang terhadap ahli keluarga termasuk dalam kesempurnaan iman.



Hadis sokongan:
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
إِنَّ مِنْ أَكْمَلِ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَأَلْطَفُهُمْ بِأَهْلِهِ

Daripada Aisyah RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya termasuk orang yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya dan paling lembut terhadap keluarganya."
(HR Tirmizi No: 2537)

Jadilah orang yang paling baik akhlaknya dalam kehidupan, khususnya dalam berkeluarga, agar menjadi mukmin yang paling sempurna.
Bersama membina keluarga bahagia. Kasih Keluarga, Bahagia Bersama.

19hb Jamadil Awal 1447H
10hb November 2025

Saturday, 8 November 2025

JADILAH SUAMI MITHALI

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

JADILAH SUAMI MITHALI

عَنْ الْأَسْوَدِ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ فِي بَيْتِهِ، قَالَتْ: كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ، تَعْنِي خِدْمَةَ أَهْلِهِ، فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلَاةُ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ.

Daripada Al-Aswad berkata:
“Aku pernah bertanya kepada ‘Aisyah tentang apa yang dilakukan oleh Nabi SAW ketika berada di rumah.”
Maka ‘Aisyah menjawab:
“Baginda selalu membantu urusan keluarganya; apabila tiba waktu solat, baginda keluar untuk melaksanakannya (di masjid).”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 635)
Status: Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik apabila berada di rumah dengan membantu kerja-kerja rumah tangga seperti menjahit pakaian, memerah susu, menampal kasut dan melayani ahli keluarganya.


2. Membantu urusan rumah bukanlah merendahkan martabat seorang suami, bahkan menzahirkan kasih sayang dan tanggungjawab.


3. Rasulullah SAW tidak mengabaikan ibadat solat fardu di masjid apabila tiba waktunya, di samping melaksanakan peranan dalam masyarakat.


4. Pemimpin yang baik ialah yang mampu menunaikan tanggungjawab terhadap Allah, keluarga dan masyarakat dengan seimbang dan sempurna.


5. Keluarga bahagia terbina apabila suami dan isteri saling membantu dalam urusan harian dengan penuh tanggungjawab tanpa mengabaikan kewajipan kepada Allah SWT.


6. Sifat tawaduk, kasih sayang dan tolong-menolong dalam keluarga membawa keberkatan serta keharmonian rumah tangga.



Para suami sewajarnya mencontohi Rasulullah SAW dalam kehidupan berkeluarga dengan membantu urusan harian isteri dan menjaga kewajipan terhadap Allah seperti menunaikan solat fardu berjemaah di masjid.

Bersama membina keluarga bahagia — Kasih Keluarga, Bahagia Bersama.

17 Jamadil Awal 1447H
08 November 2025M

JADILAH WANITA SOLEHAH

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

JADILAH WANITA SOLEHAH

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ.

Daripada Abdurrahman bin Auf RA berkata; Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya (kehormatannya) dan taat kepada suaminya, nescaya akan dikatakan kepadanya; ‘Masuklah kamu ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang kamu kehendaki.’”
(HR Ahmad No: 1573)
Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Wanita solehah di akhirat akan diberi kelebihan untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang dikehendakinya dengan syarat memenuhi empat kriteria:
 a) Menunaikan solat lima waktu dengan sempurna
 b) Berpuasa wajib di bulan Ramadhan
 c) Menjaga kehormatan diri (kemaluan)
 d) Taat dan berbakti kepada suami


2. Imam Ibn Hajar menjelaskan bahawa “حَفِظَتْ فَرْجَهَا” bermaksud wanita menjaga kesucian diri daripada perbuatan keji dan memelihara kehormatan perkahwinannya dengan tidak berlaku curang, serta menutup aurat dan menjauhi fitnah.


3. Ketaatan kepada suami merupakan ibadah yang besar ganjarannya selama tidak bercanggah dengan hukum Allah.


4. Hadis ini menonjolkan kemuliaan wanita dalam Islam. Wanita yang menjaga ibadahnya, kehormatannya dan tanggungjawab terhadap suami akan memperoleh penghormatan tertinggi daripada Allah, iaitu memasuki syurga dari mana-mana pintu yang diingininya.



Berusahalah menjadi wanita yang solehah.
Bersama membina keluarga bahagia.

18hb Jamadil Awal 1447H
09hb November 2025

Thursday, 6 November 2025

JADILAH ORANG YANG PALING BAIK PADA AHLI KELUARGA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

JADILAH ORANG YANG PALING BAIK PADA AHLI KELUARGA

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ، وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي، وَإِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ

Daripada Aisyah RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik antara kamu ialah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Apabila sahabat kamu meninggal dunia maka biarkanlah dia (jangan kamu membicarakan keburukannya).”
(HR Tirmidzi No: 3830)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Perkahwinan bertujuan untuk mewujudkan rumah tangga dan ahli keluarga yang bahagia.


2. Bagi mencapai kebahagiaan dalam berumah tangga, kita perlu berlaku baik terhadap ahli keluarga dengan memenuhi hak dan tanggungjawab sebagai suami isteri, ibu bapa dan anak.


3. Sebaik-baik insan ialah yang paling baik pergaulannya terhadap ahli keluarganya.


4. Syeikh Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini berkata: (Iaitu berbuat baik) kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. (Rujuk Tuhfat al-Ahwazi, al-Mubarakfuri, 10/269).


5. Bertimbang rasa, bertolak ansur dan saling menyayangi antara pasangan dan anak-anak merupakan faktor utama keharmonian rumah tangga.


6. Contohilah Rasulullah SAW yang paling baik layanan terhadap isteri dan anak-anaknya.


7. Islam melarang kita mengungkit atau menceritakan keburukan orang yang telah meninggal dunia kerana ia termasuk dalam perbuatan ghibah (mengumpat) yang diharamkan, kecuali untuk tujuan syarak seperti pengajaran atau penjelasan hukum.



Bersama membina keluarga bahagia. Kasih keluarga, bahagia bersama.

15 Jamadil Awwal 1447H
06 November 2025M

SEDEKAH KEPADA AHLI KELUARGA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

SEDEKAH KEPADA AHLI KELUARGA

عَنْ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُ الصَّدَقَةِ مَا كَانَ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Daripada Az-Zuhriy berkata, telah mengkhabarkan kepada saya Sa‘id bin Al-Musayyab bahawa dia mendengar Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda: “Sedekah yang paling baik ialah sedekah yang diberikan ketika seseorang itu masih berkecukupan (tidak berhajat kepada orang lain), dan mulakanlah dengan (menafkahkan kepada) orang yang berada di bawah tanggunganmu.”
(HR al-Bukhari, No. 1337)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Amalan bersedekah atau memberi kepada orang lain ialah amalan mulia yang sangat dituntut kepada setiap Muslim.


2. Sedekah yang terbaik ialah sedekah yang dilakukan dengan kemampuan dan keikhlasan, bukan sehingga memudaratkan diri atau tanggungan.


3. Keutamaan nafkah dan sedekah hendaklah diberikan kepada ahli keluarga terlebih dahulu seperti isteri, anak-anak dan ibu bapa sebelum diberikan kepada orang luar.


4. Antara asas kebahagiaan dalam rumah tangga ialah saling melaksanakan tanggungjawab. Ketua keluarga wajib menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.


5. Sedekah yang sebaiknya dilakukan selepas menunaikan hak terhadap ahli keluarga. Firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ
“Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ‘Yang lebih daripada keperluan.’”
(Surah al-Baqarah: 219)

Al-‘Afwu bermaksud lebihan daripada keperluan asas (Tafsir Ibnu Katsir, 2:145).


6. Sabda Rasulullah SAW:
صَدَقَتُكَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الْقُرْبَى الرَّحِمِ ثِنْتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ
“Sedekahmu kepada orang miskin bernilai satu sedekah, sedangkan sedekahmu kepada kerabatmu bernilai dua: satu sedekah dan satu menyambung silaturahim.”
(Musnad Ahmad, No. 17197)
Status: Isnad Hasan


7. Hadis ini menekankan keseimbangan antara tanggungjawab keluarga dan kebajikan masyarakat. Sedekah yang paling afdhal ialah sedekah yang dilakukan dengan penuh tanggungjawab, dalam keadaan mampu, serta dimulakan dengan ahli keluarga sendiri.



Mulakan pemberian kepada ibu bapa, pasangan, anak-anak dan kaum kerabat yang terdekat — terutama apabila diketahui mereka menghadapi kesempitan hidup.

Kasih Keluarga, Bahagia Bersama

16 Jamadil Awwal 1447H
07 November 2025M

Monday, 3 November 2025

KEWAJIPAN BERDAKWAH DAN HUKUM MENINGGALKANNYA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

KEWAJIPAN BERDAKWAH DAN HUKUM MENINGGALKANNYA

عَنْ هُشَيْمٍ وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:
مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي ثُمَّ يَقْدِرُونَ عَلَى أَنْ يُغَيِّرُوا ثُمَّ لَا يُغَيِّرُوا إِلَّا يُوشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ مِنْهُ بِعِقَابٍ

Daripada Husyaim RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah kemaksiatan dilakukan dalam suatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripadanya) mampu untuk mencegahnya tetapi mereka tidak berbuat demikian, melainkan Allah akan menimpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab.”
(Hadis Riwayat Abu Daud, No. 4338)
Status: Hadis Sahih


---

Pengajaran:

1. Kewajipan setiap Muslim yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya SAW ialah berdakwah, iaitu menyeru kepada kebaikan (al-Amr bi al-Ma’ruf) dan mencegah kemungkaran (al-Nahi ‘an al-Munkar).

Firman Allah SWT dalam Surah Ali-‘Imran ayat 104:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya:
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”


2. Setiap individu Muslim bertanggungjawab terhadap masyarakatnya. Berdiam diri terhadap kemungkaran sedangkan mampu mencegahnya adalah satu kesalahan besar.


3. Sikap berdiam diri terhadap kemungkaran boleh menyebabkan turunnya azab Allah SWT kepada seluruh masyarakat, termasuk yang soleh.


4. Imam al-Nawawi menukilkan daripada Abu al-Qasim al-Qusyairi, disandarkan kepada Abu Ali al-Daqqaq, katanya:
“Barangsiapa yang diam terhadap sesuatu kebenaran, maka dia adalah syaitan bisu.”
(Rujuk: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 20/2)


5. Cegahlah kemungkaran mengikut kemampuan. Daripada Abu Sa‘id al-Khudri RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya:
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka dengan hatinya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”
(Hadis Riwayat Muslim, No. 78)
Status: Hadis Sahih


6. Jadilah umat terbaik yang sentiasa berperanan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran agar rahmat Allah terus memayungi kita semua.




---

📅 13 Jamadil Awwal 1447H
📅 04 November 2025M

Sunday, 2 November 2025

UMAT SEPERTI BUIH

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

UMAT SEPERTI BUIH

عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
يُوشِكُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمُ الْأُمَمُ مِنْ كُلِّ أُفُقٍ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ عَلَى قَصْعَتِهَا
قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمِنْ قِلَّةٍ بِنَا يَوْمَئِذٍ؟
قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزِعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ
قَالُوا: وَمَا الْوَهْنُ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟
قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ

Daripada Tsauban, pembantu Rasulullah SAW berkata; Rasulullah SAW bersabda:
"Akan tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh pelusuk dunia akan mengerumuni kamu seperti orang lapar mengerumuni piring makanan."
Kami bertanya: "Apakah ketika itu bilangan kami sedikit, wahai Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Tidak, bahkan kamu ketika itu ramai, tetapi kamu seperti buih di atas air banjir. Allah akan mencabut rasa gerun dari hati musuh terhadap kamu dan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit Wahan."
Kami bertanya lagi: "Apakah Wahan itu, wahai Rasulullah?"
Baginda bersabda: "Cinta dunia dan takut mati."

(Hadis Riwayat Ahmad, No. 21363) – Status: Sahih


---

Pengajaran Hadis:

1. Akan tiba suatu masa umat Islam ramai bilangannya, namun penghayatan terhadap al-Quran dan hadis semakin longgar, semangat jihad dan pengorbanan semakin luntur.


2. Umat Islam ramai tetapi tidak mempunyai kekuatan sebenar — seperti buih di atas air, tidak punya arah dan daya.


3. Musuh Islam tidak lagi gerun terhadap umat Islam kerana mereka telah hilang kehebatan dan hanya sibuk memenuhi hawa nafsu duniawi.


4. Walaupun ramai, umat Islam menjadi lemah dan mudah pecah seperti buih — kerana menyeleweng daripada panduan al-Quran dan sunnah.


5. Umat Islam menjadi lemah apabila dicampakkan ke dalam hati mereka penyakit al-wahan, iaitu cinta dunia dan takut mati.


6. Kelemahan umat Islam berpunca daripada hilangnya semangat jihad dan pengorbanan demi agama.


7. Kekuatan sebenar umat Islam bukan pada bilangan, tetapi pada kualiti iman dan penghayatan ajaran Islam.



Sebagaimana firman Allah SWT:
كَم مِّن فِئَةٍ قَليلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya: “Berapa banyak golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar.”
(Surah al-Baqarah: 249)


---

📅 12 Jamadil Awwal 1447H / 03 November 2025M

Saturday, 1 November 2025

BERUNTUNGLAH ORANG YANG ASING

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

BERUNTUNGLAH ORANG YANG ASING

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
(رواه مسلم رقم 208)

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
“Islam bermula dalam keadaan asing, dan ia akan kembali seperti bermulanya – dalam keadaan asing. Maka beruntunglah orang-orang yang asing.”
(Hadis Sahih – Riwayat Muslim, No. 208)

Pengajaran:

1. Islam pada awalnya muncul dalam keadaan asing — hanya sedikit yang menerimanya seperti di Makkah dan Madinah.


2. Di akhir zaman, Islam akan kembali menjadi asing walaupun umat Islam ramai, kerana syariatnya hanya diamalkan oleh segelintir orang yang taat.


3. “Orang asing” ialah mereka yang tetap berpegang kepada kebenaran walau ditolak oleh masyarakat; mereka mendapat ganjaran besar di sisi Allah.


4. Mukmin yang mengamalkan sunnah sering dianggap ketinggalan zaman, sedangkan cara hidup Barat diagungkan.


5. Muslim sejati perlu istiqamah menjaga ajaran Islam dan menjauhi gejala sosial yang mencemar imej agama.


6. Beruntunglah mereka yang sedikit tetapi teguh memelihara syariat di tengah masyarakat yang lalai.


7. Menurut Ibnu ‘Ajlan, maksud ṭūbā lil-ghurabā’ ialah mereka yang memperoleh kebaikan berterusan.


8. Rasulullah SAW memuji orang beriman yang istiqamah dengan al-Quran dan al-Sunnah walaupun dihina oleh masyarakat.



Tarikh:
11 Jamadil Awal 1447H / 02 November 2025M

Friday, 31 October 2025

DOSA YANG TIDAK DITUNDA BALASANNYA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

DOSA YANG TIDAK DITUNDA BALASANNYA

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
كُلُّ ذُنُوبٍ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مِنْهَا مَا شَاءَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، إِلَّا الْبَغْيَ، وَعُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ، وَقَطِيعَةَ الرَّحِمِ، يُعَجِّلُ اللَّهُ لِصَاحِبِهَا فِي الدُّنْيَا قَبْلَ الْمَوْتِ.

Daripada Abu Bakrah RA, daripada Nabi SAW bersabda:
"Setiap dosa akan ditunda balasannya oleh Allah SWT hingga hari kiamat, kecuali perbuatan zalim (al-baghy), derhaka kepada kedua ibu bapa dan memutuskan silaturahim; Allah akan menyegerakan azabnya di dunia sebelum kematian menjemput."
(Hadis Riwayat Al-Hakim, Al-Mustadrak No. 7345)
Status: Sahih

Pengajaran:

1. Setiap dosa seorang insan akan menerima balasan daripada Allah SWT melainkan jika diampunkan oleh-Nya.


2. Ada antara dosa yang akan dipercepatkan balasannya di dunia sebelum akhirat, antaranya:



 a) Dosa al-baghy – menzalimi hak orang lain sama ada melalui kuasa, kekayaan atau tindakan. Ia termasuk merampas hak, menindas, rasuah, menuntut yang tidak halal dan memberontak.

 b) Dosa derhaka kepada ibu bapa – menyakiti hati, meninggikan suara, mengabaikan tanggungjawab, atau bercakap kasar terhadap mereka.

 c) Dosa memutuskan silaturahim – tidak bertegur sapa dengan ahli keluarga terdekat, menimbulkan permusuhan atau enggan membantu walaupun mampu.

3. Balasan terhadap dosa ini akan dirasai di dunia sebelum mati, sama ada dalam bentuk kesempitan hidup, kegagalan, penyakit, atau hilang keberkatan rezeki dan ketenangan jiwa.


4. Kezaliman, derhaka kepada ibu bapa dan memutuskan silaturahim ialah dosa besar yang amat berat di sisi Allah. Hindarilah perbuatan yang membawa kemurkaan dan azab segera ini.



10 Jamadil Awwal 1447H
1 November 2025M

Thursday, 30 October 2025

RASULULLAH SAW ENGGAN SOLATKAN JENAZAH MATI SYAHID

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

RASULULLAH SAW ENGGAN SOLATKAN JENAZAH MATI SYAHID

عَنْ زَيْدِ بْنِ خَالِدٍ الْجُهَنِيِّ أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تُوُفِّيَ يَوْمَ خَيْبَرَ، فَذَكَرُوا ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ. فَتَغَيَّرَتْ وُجُوهُ النَّاسِ لِذَلِكَ، فَقَالَ: إِنَّ صَاحِبَكُمْ غَلَّ فِي سَبِيلِ اللَّهِ. فَفَتَّشْنَا مَتَاعَهُ، فَوَجَدْنَا خَرَزًا مِنْ خَرَزِ يَهُودَ لَا يُسَاوِي دِرْهَمَيْنِ.
(Riwayat Abu Daud, No. 2335 – Sanad Tsiqah)

Terjemahan:
Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani RA bahawa seorang sahabat Nabi SAW meninggal dunia pada hari peperangan Khaibar. Maka para sahabat memberitahu Rasulullah SAW tentang kematiannya. Baginda bersabda:
“Solatkanlah jenazah sahabat kamu itu!”
Lalu berubah wajah para sahabat kerana terkejut mendengar sabda baginda. Rasulullah SAW kemudian menjelaskan:
“Sesungguhnya sahabat kalian telah mengkhianati harta rampasan perang di jalan Allah.”
Maka kami memeriksa barang-barangnya dan menjumpai perhiasan milik orang Yahudi yang nilainya tidak sampai dua dirham.


---

Pengajaran:

1. Setiap harta yang dimiliki perlu dipastikan bersih dan halal daripada sumber yang benar serta baik.


2. Rasulullah SAW enggan menyembahyangkan jenazah sahabat yang mengambil harta bukan haknya walaupun nilainya kecil (tidak sampai dua dirham atau sekitar RM2).


3. Perbuatan ghulul ialah mengambil harta yang ada kaitan dengan hak orang lain atau dengan cara menzalimi orang lain seperti rasuah, mencuri, menipu atau menerima harta haram.


4. Menurut al-Nasafi, ghulul ialah apabila seseorang mengambil sesuatu dengan sembunyi-sembunyi. Dengan kata lain, segala bentuk penyelewengan, manipulasi, atau pengkhianatan terhadap harta amanah termasuk dalam makna ghulul.


5. Larangan mengambil harta bukan hak walaupun sedikit menunjukkan betapa tegasnya Rasulullah SAW terhadap ketidakjujuran.


6. Jika harta yang kecil nilainya menyebabkan Rasulullah SAW enggan menyembahyangkan jenazah, apatah lagi jika melibatkan jumlah besar.


7. Hadis ini menjadi amaran keras terhadap ketidakjujuran dalam mengurus harta awam. Perkara kecil di mata manusia boleh menjadi sebab besar bagi azab di akhirat jika melibatkan hak bersama.




---

📅 09 Jamadil Awwal 1447H
📆 31 Oktober 2025M

Nama-Nama Mulia Rasulullah

🌿 *Nama-Nama Mulia Rasulullah ﷺ*

Rasulullah ﷺ bersabda:
“Aku mempunyai lima nama:
Aku Muhammad, Aku Ahmad, Aku al-Māḥī (yang denganku Allah menghapuskan kekufuran), Aku al-Ḥāshir (yang manusia akan dikumpulkan di bawah panjiku), dan Aku al-‘Āqib (yang tiada nabi selepasku).”
_(Riwayat al-Bukhārī dan Muslim)_

Sesungguhnya Allah Ta‘ala telah menamakan baginda ﷺ dalam kitab-Nya dengan dua nama yang agung Muhammad dan Ahmad.

Antara keistimewaan besar yang Allah kurniakan kepada baginda ialah:
Nama-nama baginda mengandungi pujian terhadap dirinya, dan setiap sebutan nama baginda membawa sanjungan serta kesyukuran yang agung.

🌸 *Makna dan Keindahan Nama-Nama Baginda ﷺ*

🔸 “Ahmad” (أَحْمَد)
Berasal daripada wazan af‘alu, bermaksud “yang paling banyak memuji dan paling terpuji.” Nama ini menggambarkan sifat baginda sebagai manusia yang paling sempurna dalam memuji Allah, dan juga yang paling layak menerima pujian daripada seluruh makhluk.

🔸 “Muhammad” (مُحَمَّد)
Berasal daripada wazan mufa‘alun, bermakna “yang sangat banyak dipuji.” Ia menunjukkan bahawa baginda memiliki pelbagai sifat terpuji yang membuatkan seluruh makhluk mencintai dan memujinya.

🌹 *Maka, baginda ﷺ adalah:*
- Sebesar-besar orang yang memuji Allah,
- ⁠Sebagus-bagus orang yang dipuji,
- ⁠Manusia yang paling banyak memuji dan paling layak dipuji.

_Kerana itu, baginda digelar:_
- “Aḥmad al-ḥāmidīn” — yang paling sempurna dalam memuji,
- “Aḥmad al-maḥmūdīn” — yang paling terpuji di antara yang terpuji.

🕊️ *Kemuliaan di Hari Kiamat*
Pada hari kiamat kelak, baginda ﷺ akan membawa panji pujian (liwā’ al-ḥamd) lambang kemuliaannya yang tertinggi. Ketika itu, seluruh makhluk akan mengenali baginda melalui sifat al-ḥamd (pujian), dan Allah akan membangkitkan baginda di maqām maḥmūd (kedudukan yang terpuji) sebagaimana dijanjikan.

Di saat itu, seluruh manusia dari generasi awal hingga akhir akan memuji baginda ﷺ kerana syafaat agungnya buat umat manusia.

> -كتاب الشفا بتعريف حقوق المصطفىٰ (ص٢٨٦)-

# Inilah kemuncak makna nama-nama baginda ﷺ bahawa segala pujian yang kembali kepada Allah, berpunca melalui insan yang paling terpuji di sisi-Nya, yakni Sayyiduna Muhammad ﷺ, rahmat bagi seluruh alam.

-Abu Nur Muhd Norluqman-

Wednesday, 29 October 2025

MAKAN DARI SUMBER HARAM

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

MAKAN DARI SUMBER HARAM

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا يَرْبُو لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ إِلَّا كَانَتْ النَّارُ أَوْلَى بِهِ

Daripada Ka‘ab bin ‘Ujrah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah daging manusia tumbuh daripada barang yang haram melainkan neraka lebih berhak atasnya.”
(Hadis Riwayat at-Tirmizi, No. 558)
Status: Hasan

Pengajaran:

1. Setiap makanan atau minuman yang dimasukkan ke dalam mulut hendaklah dipastikan daripada sumber yang halal dan baik.


2. Sumber haram seperti hasil mencuri, rasuah, riba, menipu dalam jual beli, menindas, salah guna kuasa, membuat tuntutan palsu, atau makan harta anak yatim tanpa hak — semuanya menumbuhkan daging yang batil pada tubuh.


3. Daging yang tumbuh hasil daripada makanan haram tidak layak masuk syurga melainkan dengan pengampunan Allah SWT.


4. Imam al-Ghazali menyatakan makanan haram menggelapkan hati, menyebabkan doa tidak diterima dan amal tertolak.


5. Hasil yang diperoleh secara salah adalah haram dan tidak berkat. Sanggupkah kita memberi makan kepada keluarga daripada sumber yang haram? Ingatlah, makanan yang haram menjadikan neraka lebih utama baginya.



Hadis lain sebagai penguat:

كُلُّ لَحْمٍ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ فَالنَّارُ أَوْلَى بِهِ
Maksudnya: “Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka Neraka lebih layak baginya.”
(Hadis Riwayat at-Tabrani dalam al-Kabir 19/136; Sahih al-Jami‘, 3594)

Ibnu Mas‘ud RA berkata:
“Perbuatan suht ialah apabila seseorang membantu urusan saudaranya, lalu dia menerima hadiah daripadanya. Dengan harta haram itu dia makan, berpakaian, berkenderaan, membeli rumah, atau menghiasinya. Maka nerakalah tempat yang layak baginya.”

08 Jamadil Awwal 1447H
30 Oktober 2025M

Tuesday, 28 October 2025

PEMBERI, PENERIMA DAN PENGANTARA RASUAH DILAKNAT

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PEMBERI, PENERIMA DAN PENGANTARA RASUAH DILAKNAT

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ: لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ، يَعْنِي الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَا.
(Riwayat Ahmad, No: 22399; al-Ṭabarānī dalam al-Mu‘jam al-Kabīr, 1415)

Terjemahan:
Daripada Thauban RA berkata: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi perantara yang menjadi penghubung antara kedua-duanya.”

Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW melaknat semua pihak yang terlibat dengan rasuah — sama ada pemberi, penerima atau pengantara.


2. Para ulama menafsirkan bahawa dilaknat menunjukkan dosa besar. Imam al-Zahabi menyenaraikan rasuah dalam kitabnya al-Kabā’ir sebagai antara dosa besar.


3. Sesiapa yang menjadi pemudah cara atau orang tengah bagi urusan rasuah turut berdosa. Kaedah fiqh menyebut:
الإِعَانَةُ عَلَى المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ
Maksudnya: Menolong perbuatan maksiat juga adalah maksiat.


4. Imam Ibnul ‘Arabi menjelaskan: Rasuah ialah pemberian yang bertujuan membeli keputusan seseorang yang berjawatan bagi mendapatkan sesuatu yang tidak halal.


5. Allah SWT mencela perbuatan ini dalam al-Quran:
سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ
Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita dusta dan sangat suka memakan yang haram (rasuah dan sebagainya).
(Surah al-Māidah, Ayat 42)
Imam al-Baghawi menjelaskan bahawa ayat ini ditujukan kepada para hakim Yahudi yang menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk pihak yang merasuah. Said bin Jubair turut menyatakan makna أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ ialah rasuah kerana ia termasuk dalam memakan harta haram.


6. Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradawi, rasuah bukan hanya jenayah kewangan tetapi juga pengkhianatan terhadap amanah dan tanda kerosakan aqidah, kerana menunjukkan hilangnya rasa takut kepada Allah SWT.



📅 07 Jamadil Awwal 1447H / 29 Oktober 2025

Monday, 27 October 2025

PELAKU RASUAH DILAKNAT ALLAH DAN RASUL

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

PELAKU RASUAH DILAKNAT ALLAH DAN RASUL

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi, No. 1337)
Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Amalan memberi dan menerima rasuah adalah perbuatan keji yang bukan sekadar haram, tetapi termasuk dalam dosa besar, dan pelakunya dilaknat oleh Allah SWT serta Rasulullah SAW.


2. Rasuah ialah sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau menegakkan kebatilan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, 22/219)


3. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah bermaksud penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu berkaitan tugas rasmi. Suapan boleh berupa wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, diskaun dan sebagainya.


4. Rasuah bukan sekadar salah laku moral, tetapi merupakan pengkhianatan terhadap amanah, masyarakat dan agama. Ia membawa kepada ketidakadilan, kezaliman, penindasan dan keruntuhan sistem sosial.


5. Rasulullah SAW juga bersabda:
الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي فِي النَّارِ
Maksudnya: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah berada dalam neraka.”
(Hadis Riwayat al-Tabarani dalam al-Kabir, No. 4415)
Status: Sahih


6. Setiap pemberian atau penerimaan sesuatu dengan jalan yang batil adalah dosa besar dan dilarang oleh Allah SWT:



وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang lain antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan sebahagian dari harta manusia dengan dosa, sedangkan kamu mengetahuinya.”
(Surah al-Baqarah: 188)
7. Pemberi dan penerima rasuah akan dijauhkan daripada rahmat, kasih sayang dan keampunan Allah. Ini amaran keras kerana tidak semua dosa dilaknat oleh Allah, namun rasuah termasuk di antaranya.

➡️ Jangan sekali-kali terlibat dengan rasuah yang membawa laknat Allah dan Rasul-Nya.

📅 06 Jamadil Awal 1447H / 28 Oktober 2025M

Saturday, 25 October 2025

PESANAN BUAT MUSAFIR

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PESANAN BUAT MUSAFIR

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُسَافِرَ فَأَوْصِنِي.
قَالَ: عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللهِ وَالتَّكْبِيرِ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ.
فَلَمَّا أَنْ وَلَّى الرَّجُلُ قَالَ: اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa ada seorang lelaki berkata:
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku hendak bermusafir, maka berilah wasiat kepadaku.”
Baginda bersabda: “Engkau hendaklah bertakwa kepada Allah dan bertakbir ketika menaiki tempat yang tinggi.”
Kemudian ketika lelaki itu ingin pergi, Baginda SAW berdoa untuknya:
“Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya dan mudahkanlah perjalanannya.”

(Hadis Riwayat al-Tirmizi, No. 3445)
Status: Hasan

Pengajaran:

1. Ramai dalam kalangan kita mengambil kesempatan untuk bermusafir sama ada bercuti bersama keluarga atau menziarahi ahli keluarga. Sebelum bermusafir, mintalah nasihat daripada orang soleh atau berilmu kerana wasiat yang baik menjadi panduan dalam perjalanan.


2. Musafir boleh menjadi ibadah jika diniatkan dengan baik, seperti menuntut ilmu, ziarah, berniaga secara halal, atau berjihad. Maka perjalanan itu hendaklah disertai adab dan amalan sunnah.


3. Antara pesanan Rasulullah SAW kepada orang yang ingin bermusafir:
 a. Sentiasa bertakwa kepada Allah SWT sebagai bekalan utama.
 b. Apabila menaiki tempat tinggi hendaklah bertakbir.


4. Syeikh al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi (9/406) menjelaskan bahawa pesanan ini bermaksud supaya orang yang bermusafir:
 a. Sentiasa bertakwa kepada Allah SWT.
 b. Menjauhi maksiat kepada-Nya.
 c. Mengingati kebesaran Allah dan bersyukur atas kurniaan-Nya.


5. Doa yang diajar Nabi SAW untuk musafir:
 اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ
 Maksudnya: “Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya dan mudahkanlah perjalanannya.”



04 Jamadil Ula 1447H
26 Oktober 2025M

Tanda-tanda akhir zaman

Tanda-tanda akhir zaman

رَوَى الْبُخَارِيُّ عَنِ أبي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قال (لا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ وَتَكْثُرَ الزَّلازِلُ وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ (وَهُوَ الْقَتْلُ) حَتَّى يَكْثُرَ فِيكُمُ الْمَالُ فَيَفِيضَ).

Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan hadis daripada Sayyiduna Abu Hurairah رضي الله , bahawasanya baginda Rasulullah ﷺ bersabda:

Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah 1) Ilmu dimatikan 2) Banyaknya gempa bumi 3) Masa semakin singkat 4) Munculnya fitnah 5) Banyaknya Àl-Hárj iaitu pembunuhan sehingga banyaknya seseorang kalian mempunyai harta yang melimpah ruah

Mari kita lihat syarahannya dari kitab Mūkhtásàr Ibnü Abi Jámráh, syarahan oleh Al-Imàm As-Syànwàni As-Shàfīè 

1️⃣ Ilmu dimatikan

- ilmu dengan dimatikan para alim ulama

- Banyaknya orang jahil sehingga orang awam mengangkat orang jahil bertanya tentang fatwa, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan 

2️⃣ Banyak gempa bumi

3️⃣ Masa semakin singkat

1-Dalam hadis dijelaskan bahawa: (( Kiamat tidak akan berlaku sehingga masa semakin singkat. Setahun seumpama sebulan, sebulan seumpama hari Jumaat (seminggu), Hari Jumaat (seminggu) seumpama sehari, sehari seumpama sesaat, sesaat seumpama sepercik api))

Tanda dekat dengan kiamat

2- Atau maksud kedua: Kurang berkat. Siang malam berlalu dengan cepat

3- Atau manusia zaman itu mendekati keburukan dan kurangnya kebaikan


4️⃣, 5️⃣ Munculnya fitnah dan pembunuhan 

Pembunuhan itu juga adalah fitnah. Tetapi disebutkan pula tentang perkara ini sebagai menunjukkan keburukannya.

Banyaknya pembunuhan, berkuranglah manusia.

Ketika ini, ada manusia yang nak memberi sedekah tidak dijumpai orang yang menerimanya . 

(Ini mungkin belum terzahirnya jelas lagi, tetapi kadar indeks jenayah perlu dirisaukan)


---- apa tujuan baginda Rasulullah ﷺ? Untuk menakutkan umat manusia ? Sifat Baginda Rasulullah ﷺ itu نذير pemberi berita gembira dan بشير pembawa berita gembira -----

🟢 Sekarang apa yang perlu kita buat:

Banyakkan beramal Soleh. Antara cadangannya:
 
1) Jagalah iman kita dengan melakukan solat sunat awwabin selepas solat Maghrib

2) Bacalah doa perlindungan yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah ﷺ sebelum memberi salam

اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذُ بِكَ مِن عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ المَسِيحِ الدَّجَّالِ

Wallahualam Taala A'lam 

- AZRA S.A KLANG

Friday, 24 October 2025

RASULULLAH SAW ENGGAN SOLATKAN JENAZAH BERHUTANG

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

RASULULLAH SAW ENGGAN SOLATKAN JENAZAH BERHUTANG

عَنْ سَلَمَةَ بْنِ الْأَكْوَعِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا فَقَالَ هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا قَالُوا لاَ فَصَلَّى عَلَيْهِ، ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قِيلَ نَعَمْ، قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟ قَالُوا ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ، فَصَلَّى عَلَيْهَا، ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟ قَالُوا لاَ، قَالَ فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قَالُوا ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ، قَالَ: صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ، قَالَ أَبُو قَتَادَةَ: صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ، فَصَلَّى عَلَيْهِ.
(HR al-Bukhari No: 2286)
Status: Hadis Sahih

Terjemahan:
Daripada Salamah bin Akwa‘ RA berkata:
“Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, datang dibawa satu jenazah lalu mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, solatkanlah jenazah ini.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia mempunyai hutang?’ Mereka menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bertanya: ‘Apakah dia meninggalkan harta?’ Mereka menjawab: ‘Tidak.’ Maka Baginda pun mensolatkannya.

Kemudian dibawa lagi satu jenazah, mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, solatkanlah jenazah ini.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia mempunyai hutang?’ Mereka menjawab: ‘Ya.’ Baginda bertanya: ‘Apakah dia meninggalkan harta?’ Mereka menjawab: ‘Tiga dinar.’ Maka Baginda mensolatkannya.

Kemudian datang lagi jenazah ketiga, mereka berkata: ‘Solatkanlah jenazah ini.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia meninggalkan harta?’ Mereka menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia berhutang?’ Mereka menjawab: ‘Tiga dinar.’ Maka Baginda bersabda: ‘Kalian solatlah atas jenazah sahabat kamu ini.’ Maka Abu Qatadah berkata: ‘Wahai Rasulullah, solatkanlah jenazah ini, aku akan menanggung hutangnya.’ Maka Baginda pun mensolatkannya.”

Pengajaran:

1. Hutang adalah perkara penting yang perlu diambil berat kerana ia boleh menjejaskan urusan akhirat seseorang.


2. Hutang perlu dijelaskan dengan segera sama ada kepada individu, institusi atau organisasi.


3. Rasulullah SAW enggan menyembahyangkan jenazah orang yang masih berhutang untuk mendidik umat tentang bahaya hutang, bukan kerana jenazah itu tidak layak disolatkan.


4. Umat Islam perlu berusaha mengelakkan diri daripada berhutang kecuali jika yakin mampu melunaskannya.


5. Setiap hutang wajar ditulis dan dimaklumkan kepada ahli waris supaya dapat dilangsaikan daripada harta pusaka selepas kematian.


6. Umat Islam digalakkan membuat wasiat dan perancangan kewangan agar hutang dapat diselesaikan dengan baik selepas meninggal dunia.



03 Jamadal Ula 1447H
25 Oktober 2025M

Thursday, 23 October 2025

SEBAIK-BAIK PAKAIAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

SEBAIK-BAIK PAKAIAN

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
البِسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبِيَاضَ فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ، وَإِنَّ خَيْرَ أَكْحَالِكُمْ الإِثْمِدُ: يَجْلُو الْبَصَرَ، وَيُنْبِتُ الشَّعَرَ
(Daripada Abdullah bin Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Pakailah pakaian berwarna putih kerana ia adalah sebaik-baik pakaian kamu, dan kafankanlah orang-orang mati kamu dengannya. Dan sebaik-baik celak kamu ialah al-Ithmid, kerana ia mencerahkan penglihatan dan menumbuhkan bulu mata (rambut).”)
— Hadis Riwayat Abu Daud, No. 3878 | Status: Sahih

Pengajaran:

1. Islam menganjurkan kesederhanaan dalam berpakaian, dan warna putih adalah sunnah yang terbaik.


2. Pakaian berwarna putih melambangkan kesucian dan kebersihan serta tidak berlebihan, sesuai dengan adab tawaduk dalam Islam.


3. Menggunakan kain kafan berwarna putih untuk jenazah menunjukkan kesederhanaan dan kesucian ketika menghadap Allah.


4. Penjagaan diri seperti menggunakan celak Ithmid juga dianjurkan. Ithmid ialah batu mineral hitam kemerah-merahan yang dihancurkan halus dan digunakan sebagai celak mata.


5. Celak Ithmid mempunyai manfaat kesihatan untuk mata — membantu mencerahkan penglihatan dan menumbuhkan bulu mata atau rambut halus di sekelilingnya.



02hb Jumadal Ula 1447H
24hb Oktober 2025M

Tuesday, 21 October 2025

MERAPIKAN RAMBUT

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

MERAPIKAN RAMBUT

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَن كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mempunyai rambut, maka hendaklah dia memuliakannya (menjaganya dengan baik).”
(Hadis Riwayat Abu Daud, No. 4163)
Status: Hasan

Pengajaran:

1. Islam menuntut umatnya menjaga kebersihan dan penampilan yang kemas, termasuk dalam penjagaan rambut.


2. Memuliakan rambut bermaksud menjaga kebersihan rambut, menyikat dan merapikannya, memotong apabila perlu serta menghindari penampilan kusut atau menjijikkan.


3. Rambut adalah amanah dan sebahagian daripada keindahan fizikal; maka wajib dijaga dan tidak diabaikan.


4. Penjagaan rambut merupakan adab seorang Muslim, kerana Islam adalah agama kebersihan dan keindahan. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan.”
(Hadis Riwayat Muslim, No. 164)


5. Menjaga penampilan, termasuk rambut, mencerminkan akhlak, kesopanan dan kebersihan yang dituntut oleh Islam.



30 Rabiul Akhir 1447H
22 Oktober 2025

Monday, 20 October 2025

Elak Kagum Dengan Penampilan Diri

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Elak Kagum Dengan Penampilan Diri

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي فِي حُلَّةٍ، تُعْجِبُهُ نَفْسُهُ، مُرَجِّلٌ جُمَّتَهُ، إِذْ خَسَفَ اللَّهُ بِهِ، فَهُوَ يَتَجَلْجَلُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Ketika seorang lelaki sedang berjalan dengan memakai pakaian yang cantik, yang menyebabkan dia kagum dengan dirinya sendiri, dan dia merapikan rambutnya (bergaya), maka Allah menenggelamkannya ke dalam bumi. Maka dia terus terjerumus (tergelincir, tenggelam) ke dalam bumi sehingga hari kiamat.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 5789)
Status: Sahih

Pengajaran:

1. Takabur dan ujub adalah dosa besar walaupun tidak dizahirkan secara lisan.


2. Penampilan diri yang baik tidak salah, tetapi hendaklah disertai dengan sifat rendah hati dan kesyukuran kepada Allah.


3. Hadis ini menggambarkan seorang lelaki yang kagum terhadap dirinya sendiri (ujub) kerana pakaian dan gaya, seolah-olah memperagakan penampilannya untuk meraih pujian. Sifat ini membawa kepada azab di dunia dan akhirat.


4. Islam tidak melarang berpakaian cantik, tetapi melarang bermegah dan menyombong diri kerana pakaian.


5. Ulama bersepakat bahawa takabur, ujub dan riak adalah penyakit hati yang merosakkan amal dan mendatangkan kemurkaan Allah.


6. Seorang Muslim perlu berhati-hati dengan penyakit hati yang boleh membinasakan walaupun amalannya kelihatan baik secara zahir.



29 Rabiul Akhir 1447H
21 Oktober 2025

Sunday, 19 October 2025

MEMELIHARA AURAT SESAMA JANTINA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

MEMELIHARA AURAT SESAMA JANTINA

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ وَاحِدٍ

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, dan wanita tidak boleh melihat aurat wanita lain. Lelaki juga tidak boleh bersentuhan badan dengan lelaki lain dalam satu kain, dan wanita tidak boleh bersentuhan dengan wanita lain dalam satu kain.”
(Hadis Riwayat Muslim, No. 338 – Sahih)

Pengajaran:

1. Menjaga aurat adalah kewajipan bagi setiap Muslim bukan hanya antara lelaki dan wanita, tetapi juga dalam kalangan sesama jantina.


2. Islam melarang lelaki melihat aurat lelaki lain, dan wanita melihat aurat wanita lain, kecuali dalam keadaan darurat seperti rawatan perubatan dan mengikut batas yang dibenarkan syarak.


3. Larangan bersentuhan badan secara langsung antara sesama jantina bertujuan menutup jalan kepada fitnah, gangguan seksual, dan kecenderungan tidak sihat.


4. Islam menutup segala pintu yang boleh membawa kepada maksiat atau kelakuan menyimpang.


5. Hadis ini memberi panduan menjaga maruah, aurat dan kehormatan sesama Muslim, sekali gus menghindari maksiat serta menjaga kesucian masyarakat Islam.



28 Rabiul Akhir 1447H
20 Oktober 2025M

Saturday, 18 October 2025

Bersederhana Dalam Makan dan Minum

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Bersederhana Dalam Makan dan Minum

عَنِ الْمِقْدَامِ بْنِ مَعْدِي كَرِبَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:
مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ، بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ، فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ، وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ، وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

Daripada al-Miqdam bin Ma‘dikarib RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada satu bekas yang lebih buruk diisi oleh anak Adam daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suapan yang dapat menegakkan tulang belakangnya. Jika dia mesti (mengisi perutnya), maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya, dan satu pertiga untuk nafasnya.”
(Hadis Riwayat Tirmizi, No. 2380) — Status: Sahih

Pengajaran:

1. Islam menggalakkan kesederhanaan dalam makan dan minum. Makan berlebihan boleh membawa mudarat kepada tubuh badan serta menyebabkan kita malas, mengantuk dan lalai.


2. Nabi SAW mencela perbuatan memenuhi perut secara berlebihan dan mengumpamakannya seperti mengisi bekas paling buruk.


3. Perut yang terlalu penuh boleh membawa kepada kemalasan, penyakit dan keras hati. Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din menyatakan: “Kenyang yang berlebihan adalah akar segala penyakit hati dan jasad.”


4. Nabi SAW memberikan kadar ideal untuk menjaga kesihatan dan keseimbangan tubuh: ⅓ untuk makanan, ⅓ untuk minuman dan ⅓ untuk pernafasan.


5. Nafsu makan yang tidak dikawal menjadi punca kepada pelbagai penyakit. Islam menyeru supaya kita makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.


6. Orang yang mengawal perutnya akan lebih mudah menjaga lidah, mata dan hati kerana kawalan nafsu bermula daripada kawalan makanan.


7. Sunnah Rasulullah SAW menekankan kesederhanaan dalam pemakanan, dan ini terbukti secara saintifik membantu mencegah penyakit kronik seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan diabetes.



📅 27 Rabiul Akhir 1447H | 19 Oktober 2025M

Friday, 17 October 2025

LARANGAN MAKAN DAN MINUM BERDIRI

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

LARANGAN MAKAN DAN MINUM BERDIRI

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَنَّهُ نَهَى أَنْ يَشْرَبَ الرَّجُلُ قَائِمًا قَالَ قَتَادَةُ: فَقُلْنَا: فَالْأَكْلُ؟ فَقَالَ: ذَاكَ أَشَرُّ، أَوْ أَخْبَثُ

Daripada Anas RA bahawa Nabi SAW melarang seseorang lelaki minum sambil berdiri. Kata Qatadah: Maka kami bertanya, bagaimana pula dengan makan? Baginda menjawab: “Itu lebih buruk atau lebih keji.”
(Hadis Riwayat Muslim, No: 2024)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Duduk ketika makan dan minum adalah amalan sunnah yang dituntut kerana ia lebih sopan dan selamat.


2. Nabi SAW melarang perbuatan minum dan makan sambil berdiri. Menurut Imam Nawawi, larangan ini termasuk dalam bab adab, bukan bermaksud haram tetapi makruh tanzih (tidak disukai, tetapi tidak berdosa jika dilakukan).


3. Imam al-San‘ani menyebut dalam Subul al-Salam, larangan ini bertujuan mendidik adab kesopanan, menghindari mudarat kesihatan serta menunjukkan tawaduk dan ketertiban dalam adab makan dan minum.


4. Dari sudut kesihatan, pakar perubatan menyatakan minum sambil berdiri boleh menyebabkan aliran air ke perut menjadi terlalu cepat, sekali gus mengganggu fungsi sistem pencernaan.


5. Makan sambil berdiri lebih buruk daripada minum berdiri. Dalam keadaan tertentu seperti tempat kotor, ruang sempit atau tiada tempat duduk, minum berdiri diharuskan. Dalam hadis lain, Nabi SAW pernah minum sambil berdiri.


6. Hadis ini menekankan keutamaan adab dalam hal makan dan minum, menunjukkan bahawa Islam mengajar umatnya kesopanan dan penghormatan terhadap nikmat walaupun dalam perkara kecil.



📅 26 Rabiul Akhir 1447H | 18 Oktober 2025

Thursday, 16 October 2025

MAKAN DAN MINUM DENGAN TANGAN KANAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

MAKAN DAN MINUM DENGAN TANGAN KANAN

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ، وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ، وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ

Daripada Ibn ‘Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya, dan apabila dia minum, maka hendaklah dia minum dengan tangan kanannya, kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.”
(HR Muslim No: 2020) — Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara adab untuk makan dan minum adalah menggunakan tangan kanan, jika dilakukan dengan niat mengikuti sunnah akan mendatangkan pahala.


2. Kita dilarang menggunakan tangan kiri untuk makan dan minum kerana ia adalah perbuatan syaitan.


3. Ulama fiqh menyatakan bahawa jika seseorang tidak mampu menggunakan tangan kanan kerana sakit, lumpuh atau uzur syar‘ie, maka tidak mengapa makan atau minum dengan tangan kiri.


4. Ibn Qayyim al-Jawziyyah menyebut bahawa larangan menggunakan tangan kiri bukan sekadar adab, tetapi membezakan akhlak seorang mukmin dengan syaitan dan orang fasik.


5. Hadis ini menunjukkan bahawa makan dan minum dengan tangan kanan adalah sunnah yang dituntut, dan ia merupakan satu cara membezakan diri kita daripada syaitan serta menghidupkan sunnah Nabi SAW. Ia mendidik kita agar berdisiplin, beradab dan taat kepada panduan syariat dalam setiap aspek kehidupan, sekecil mana pun perbuatan itu.



25 Rabiul Akhir 1447H
17 Oktober 2025M

Wednesday, 15 October 2025

GANJARAN MEMBERI PINJAMAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

GANJARAN MEMBERI PINJAMAN

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُقْرِضُ مُسْلِمًا قَرْضًا مَرَّتَيْنِ، إِلَّا كَانَ كَصَدَقَتِهَا مَرَّةً

Daripada Abdullah bin Mas‘ud RA, Nabi SAW bersabda:
“Tidak ada seorang Muslim yang memberi pinjaman kepada Muslim lain sebanyak dua kali, melainkan ia (pahalanya) seperti bersedekah sekali.”

(HR Ibnu Majah No: 2430)
Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Memberi pinjaman kepada orang yang memerlukan adalah amalan terpuji kerana sanggup mengorbankan kesenangan diri.


2. Memberi pinjaman kepada orang yang memerlukan, jika dilakukan dua kali, maka ganjarannya seolah-olah memberi sedekah sekali. Ia menunjukkan bahawa memberi pinjaman kepada yang memerlukan dianggap sebagai ibadah besar dan mendapat pahala sedekah, selagi tidak disertai riba.


3. Pinjaman diberi ganjaran seperti sedekah kerana ia membantu secara langsung orang dalam kesempitan, diberi tanpa faedah dan hanya untuk membantu bukan meraih keuntungan.


4. Memberi pinjaman dua kali menyamai pahala sedekah sekali ganjarannya kerana pinjaman tetap perlu dibayar balik, sedangkan sedekah tidak.


5. "Pinjaman dua kali" dalam hadis ini mengisyaratkan nilai kesabaran dan kesediaan untuk membantu lebih daripada sekali walaupun mungkin orang tersebut pernah gagal melunaskan hutang pada kali pertama.



24 Rabiul Akhir 1447H
16 Oktober 2025

Tuesday, 14 October 2025

PERMUDAHKAN URUSAN ORANG

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

PERMUDAHKAN URUSAN ORANG

عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ رَجُلًا كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ، أَتَاهُ الْمَلَكُ لِيَقْبِضَ رُوحَهُ، فَقِيلَ لَهُ: هَلْ عَمِلْتَ مِنْ خَيْرٍ؟ قَالَ: مَا أَعْلَمُ. قِيلَ لَهُ: انْظُرْ، قَالَ: مَا أَعْلَمُ شَيْئًا، غَيْرَ أَنِّي كُنْتُ أُبَايِعُ النَّاسَ فِي الدُّنْيَا، وَأُجَازِيهِمْ، فَأُنْظِرُ الْمُوسِرَ، وَأَتَجَاوَزُ عَنِ الْمُعْسِرِ، فَأَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ.

Daripada Huzaifah bin Yaman RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya ada seorang lelaki dalam kalangan umat sebelum kamu, didatangi oleh malaikat untuk mencabut rohnya. Maka ditanya kepadanya: ‘Adakah kamu pernah melakukan sebarang kebaikan?’ Dia menjawab: ‘Aku tidak tahu.’ Malaikat berkata kepadanya: ‘Cuba ingat kembali.’ Dia menjawab: ‘Aku tidak tahu apa-apa kebaikan melainkan aku biasa berniaga dengan manusia di dunia. Aku memberi kelonggaran kepada orang yang senang, dan memberi tempoh kepada orang yang susah.’ Lalu Allah memasukkannya ke dalam syurga.”
(HR al-Bukhari No: 3451)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Allah amat menghargai mereka yang mempermudahkan urusan orang lain, terutamanya yang dalam kesusahan, bersikap lembut dan bertimbang rasa dalam urusan dunia.


2. Sikap memberi tempoh kepada orang yang susah dan tidak menekan pelanggan menunjukkan rahmat dan belas kasihan yang sangat dihargai.


3. Orang yang memudahkan urusan orang lain di dunia walaupun kecil nescaya Allah akan memudahkan urusannya di akhirat.


4. Lelaki dalam hadis ini tidak menyedari bahawa ada amalan kecil dalam urusan sesama manusia boleh menjadi sebab masuk Syurga — iaitu memberi kelonggaran kepada orang yang berurusan dengannya.


5. Hadis ini memperlihatkan kemuliaan akhlak dalam jual beli, di mana sifat lembut, pemaaf dan tidak berkira adalah antara ciri-ciri utama orang yang disayangi Allah.


6. Hadis ini mengajar kita agar tidak hanya mencari keuntungan dalam berurusan, tetapi juga menyemai nilai kemanusiaan, keihsanan, sabar dan rahmat dalam semua urusan.



📅 23 Rabiul Akhir 1447H
📆 15 Oktober 2025M

Monday, 13 October 2025

IHSAN KEPADA PENGHUTANG

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

IHSAN KEPADA PENGHUTANG

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا أَوْ وَضَعَ لَهُ، أَظَلَّهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ تَحْتَ ظِلِّ عَرْشِهِ، يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang memberi tempoh kepada orang yang dalam kesusahan (untuk membayar hutang), atau mengurangkan sebahagian daripadanya, maka Allah akan menaunginya pada hari kiamat di bawah naungan ‘Arasy-Nya, pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya.”
(HR Tirmizi No: 1306)
Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Melanjutkan tempoh pembayaran hutang bagi orang yang tidak mampu membayar tepat pada masanya atau menghapuskan sebahagian hutang kepada orang yang berhutang merupakan akhlak terpuji yang sangat digalakkan dalam Islam.


2. Orang yang memiliki sifat ini akan mendapat naungan di bawah ‘Arasy Allah pada Hari Kiamat, hari yang tiada naungan selain naungan-Nya.


3. Islam menekankan sikap ihsan dalam urusan kewangan, termasuk kepada penghutang, sebagai tanda kasih sayang sesama manusia.


4. Memberi tangguh, mengurangkan atau memaafkan hutang adalah pelaburan besar untuk akhirat.


5. Penghutang yang berkemampuan wajib melunaskan hutang dengan segera sebagaimana sabda Rasulullah SAW:



خَيْرُكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً
Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik membayar hutang.”
(HR Bukhari No: 2305)
Status: Hadis Sahih

🕌 22 Rabiul Akhir 1447H | 14 Oktober 2025

Sunday, 12 October 2025

GANJARAN MENYEDIAKAN SUMBER AIR

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

GANJARAN MENYEDIAKAN SUMBER AIR

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
مَنْ حَفَرَ مَاءً لَمْ تَشْرَبْ مِنْهُ كَبِدٌ حَرَّى مِنْ جِنٍّ وَلَا إِنْسٍ وَلَا طَائِرٍ، إِلَّا آجَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Daripada Jabir bin Abdullah RA, Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang menggali sumber air (seperti telaga) dan daripadanya diminum oleh makhluk yang kehausan sama ada jin, manusia atau burung, maka Allah akan memberi ganjaran pahala kepadanya pada hari kiamat."
(Hadis Riwayat Ibn Khuzaimah, No: 1292) — Status: Sahih

Pengajaran:

1. Menyediakan air sama ada dengan menggali perigi, membina saliran, paip atau wakaf air termasuk dalam amal soleh yang besar ganjarannya dan menjadi amal jariah walaupun selepas kematian.


2. Memberi air kepada makhluk adalah antara sedekah yang utama kerana ia merupakan keperluan asas semua kehidupan.


3. Kita dianjurkan berbuat baik bukan hanya kepada manusia, tetapi juga kepada haiwan, tumbuhan dan jin. Setiap nyawa yang diselamatkan atau dibantu, walaupun bukan manusia, dikira sebagai amalan soleh.


4. Islam menekankan belas kasihan bukan hanya kepada manusia, tetapi kepada semua makhluk hidup.


5. Hadis ini menggambarkan luasnya ganjaran kebaikan dalam Islam, termasuk memberi manfaat kepada makhluk lain. Menyediakan sumber air menjadi pahala berterusan hingga akhirat.



21 Rabiul Akhir 1447H
13 Oktober 2025M

Saturday, 11 October 2025

SEDEKAH LINDUNGI DIRI DARI API NERAKA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

SEDEKAH LINDUNGI DIRI DARI API NERAKA

عَنْ عَدِيِّ بْنِ حَاتِمٍ الطَّائِيِّ قَالَ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَسْتَتِرَ مِنَ النَّارِ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ، فَلْيَفْعَلْ

Daripada ‘Adi bin Hatim at-To’i RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa di antara kamu yang mampu melindungi dirinya daripada api neraka walaupun dengan separuh biji tamar, maka lakukanlah.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 6195)
Status: Sahih

Pengajaran:

1. Nilai sedekah tidak terletak pada jumlah, tetapi pada keikhlasan dan niat memberi. Separuh biji tamar ialah simbol kepada sesuatu yang sangat kecil, namun tetap diterima di sisi Allah jika diberikan dengan ikhlas.


2. Amalan kecil seperti bersedekah dengan separuh biji kurma boleh menjadi sebab keselamatan dari api neraka jika disertai niat yang tulus.


3. Rasulullah SAW mengajar kita agar tidak memandang remeh amalan baik kerana sekecil mana pun amalan itu, ia tetap diberi ganjaran oleh Allah. Kita tidak tahu amalan mana yang diterima oleh-Nya.


4. Kemampuan bukan alasan untuk tidak memberi. Hadis ini menunjukkan tiada alasan untuk tidak bersedekah walau sedikit pun yang dimiliki.


5. Jangan tunggu kaya untuk bersedekah — berilah walaupun sedikit kerana ia boleh menjadi sebab keselamatan di akhirat.



19 Rabiul Akhir 1447H
11 Oktober 2025M

AMAL KEBAJIKAN DIGANJARI KEBAIKAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

AMAL KEBAJIKAN DIGANJARI KEBAIKAN

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ، قَالَتْ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
صَنَائِعُ الْمَعْرُوفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ، وَالصَّدَقَةُ خَفِيًّا تُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ، وَصِلَةُ الرَّحِمِ زِيَادَةٌ فِي الْعُمُرِ، وَكُلُّ مَعْرُوفٍ صَدَقَةٌ، وَأَهْلُ الْمَعْرُوفِ فِي الدُّنْيَا هُمْ أَهْلُ الْمَعْرُوفِ فِي الْآخِرَةِ، وَأَهْلُ الْمُنْكَرِ فِي الدُّنْيَا هُمْ أَهْلُ الْمُنْكَرِ فِي الْآخِرَةِ.

Daripada Ummu Salamah, Ummul Mukminin RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Amalan-amalan kebajikan dapat menghindarkan daripada kecelakaan yang buruk, dan sedekah yang diberikan secara sembunyi dapat meredakan kemurkaan Allah. Menyambung silaturahim pula dapat memanjangkan umur. Setiap kebaikan adalah satu sedekah. Orang-orang yang melakukan kebaikan di dunia adalah juga orang-orang yang dikenali dengan kebaikan di akhirat, dan orang-orang yang biasa melakukan kejahatan di dunia akan juga menjadi ahli kejahatan di akhirat.”
(HR al-Ṭabarānī No: 6086)
Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Perbuatan baik seperti membantu orang lain, bersedekah, meringankan beban dan memberi manfaat kepada orang lain menjadi sebab turunnya rahmat Allah serta dapat menghindarkan bala dan kesudahan yang buruk.


2. Sedekah yang dilakukan secara rahsia mencerminkan keikhlasan dan menjauhkan diri daripada riyak; ia dapat menghapuskan dosa serta memadamkan kemurkaan Allah.


3. Menghubungkan silaturrahim membawa keberkatan umur, ketenangan hidup, serta meluaskan rezeki dan perlindungan daripada keburukan.


4. Setiap kebaikan adalah sedekah — termasuk memberi senyuman, menolong orang, menasihati, dan menyingkirkan halangan dari jalan.


5. Orang yang biasa berbuat baik di dunia akan mendapat ganjaran, kemuliaan dan tempat yang baik di akhirat.


6. Orang yang berbuat jahat di dunia tanpa bertaubat akan menerima balasan kejahatan di akhirat kecuali jika mendapat keampunan Allah.


7. Jadilah insan yang suka melakukan kebaikan walaupun kecil, dan jauhi maksiat kerana ia memberi kesan terhadap kehidupan akhirat.



20 Rabiul Akhir 1447H
12 Oktober 2025M

Thursday, 9 October 2025

SEDEKAH DAN KEIKHLASAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

SEDEKAH DAN KEIKHLASAN

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
قالَ رَجُلٌ: لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا في يَدِ سَارِقٍ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ علَى سَارِقٍ، فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا في يَدَيْ زَانِيَةٍ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ علَى زَانِيَةٍ، فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، علَى زَانِيَةٍ؟ لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا في يَدَيْ غَنِيٍّ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ علَى غَنِيٍّ، فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، علَى سَارِقٍ وعلَى زَانِيَةٍ وعلَى غَنِيٍّ، فَأُتِيَ فقِيلَ له: أَمَّا صَدَقَتُكَ علَى سَارِقٍ فَلَعَلَّهُ أَنْ يَسْتَعِفَّ عن سَرِقَتِهِ، وأَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا أَنْ تَسْتَعِفَّ عن زِنَاهَا، وأَمَّا الغَنِيُّ فَلَعَلَّهُ يَعْتَبِرُ فيُنْفِقُ ممَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ.

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
Seorang lelaki berkata: “Aku akan bersedekah.” Lalu dia keluar dan meletakkan sedekahnya (tetapi sedekahnya jatuh) di tangan seorang pencuri. Pagi harinya, orang ramai bercakap: “Semalam, dia bersedekah kepada pencuri!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian, aku akan bersedekah lagi.” Dia keluar dan memberikan sedekahnya dan jatuh kepada seorang pelacur. Pagi harinya, orang ramai berkata: “Semalam, dia bersedekah kepada pelacur!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian. (bersedekah) kepada pelacur? Aku akan bersedekah lagi.” Dia keluar sekali lagi dan memberikan sedekahnya (kebetulan) kepada seorang yang kaya. Pagi harinya, orang ramai berkata: “Dia bersedekah kepada orang kaya!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian (sedekahnya jatuh) kepada pencuri, pelacur dan orang kaya.” Maka dia didatangi dalam mimpi dan dikatakan kepadanya: “Sedekahmu kepada pencuri, mudah-mudahan dia insaf dan meninggalkan perbuatan mencuri. Sedekahmu kepada pelacur, mudah-mudahan dia bertaubat dan meninggalkan zina. Sedekahmu kepada orang kaya, mudah-mudahan dia mengambil pengajaran lalu menginfakkan harta yang Allah berikan kepadanya.”

(Hadis Riwayat Muslim, No. 1022) — Status: Sahih

Pengajaran:

1. Niat adalah asas utama dalam semua amal ibadah. Lelaki dalam hadis ini bersedekah dengan niat yang tulus kerana Allah, bukan untuk menunjuk.


2. Hadis ini menceritakan tentang seorang lelaki yang dengan ikhlas ingin bersedekah. Namun, tiga kali sedekahnya “tersalah sasaran” jatuh ke tangan pencuri, penzina dan orang kaya. Namun dia tetap mengucapkan syukur kepada Allah, dan akhirnya dia diberitahu bahawa setiap pemberian itu berpotensi memberi kesan positif kepada penerimanya.


3. Jangan menilai masa depan seseorang berdasarkan dosa atau statusnya hari ini. Allah Maha Mengetahui hikmah di sebalik setiap amal.


4. Allah SWT mengatur sesuatu yang kadang-kadang kita tidak sangka. Tindakan lelaki ini menjadi asbab perubahan hidup kepada pencuri, pelacur dan orang kaya tersebut.


5. Sedekah mendidik jiwa dan menyedarkan manusia, termasuk mereka yang melakukan maksiat atau lalai. Sedekah ikhlas boleh membuka pintu taubat.


6. Sedekah yang ikhlas tidak pernah sia-sia walaupun pada pandangan manusia nampak tidak “kena”. Allah tetap memberi ganjaran dan hikmah atas keikhlasan niat.



18 Rabiul Akhir 1447H
10 Oktober 2025M

Wednesday, 8 October 2025

ABU TALHAH DAN KEBUN BAIRUHA’

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

ABU TALHAH DAN KEBUN BAIRUHA’

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ أَبُو طَلْحَةَ أَكْثَرَ الأَنْصَارِ مَالًا، وَكَانَ أَحَبَّ أَمْوَالِهِ إِلَيْهِ بَيْرَحَاءُ، وَكَانَتْ مُسْتَقْبِلَةَ الْمَسْجِدِ، وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْخُلُهَا وَيَشْرَبُ مِنْ مَاءٍ فِيهَا طَيِّبٍ. قَالَ أَنَسٌ: فَلَمَّا نَزَلَتْ هذِهِ الآيَةُ: ﴿لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ﴾ [آل عمران: ٩٢]
قَامَ أَبُو طَلْحَةَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ فِي كِتَابِهِ: ﴿لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ﴾ وَإِنَّ أَحَبَّ مَالِي إِلَيَّ بَيْرَحَاءُ، فَإِنَّهَا صَدَقَةٌ لِلَّهِ، أَرْجُو بِرَّهَا وَذُخْرَهَا عِنْدَ اللَّهِ، فَضَعْهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ حَيْثُ شِئْتَ.
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
بَخٍ! ذَاكَ مَالٌ رَابِحٌ، بَخٍ! ذَاكَ مَالٌ رَابِحٌ، وَقَدْ سَمِعْتُ مَا قُلْتَ، وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا فِي الأَقْرَبِينَ.
فَقَالَ أَبُو طَلْحَةَ: أَفْعَلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. فَقَسَمَهَا أَبُو طَلْحَةَ فِي أَقَارِبِهِ وَبَنِي عَمِّهِ.
(رواه مسلم، رقم: 998)

Terjemahan:
Daripada Anas RA berkata: Sesungguhnya Abu Talhah RA adalah orang Ansar yang paling banyak harta berupa kebun kurma di Madinah. Harta yang paling disayanginya ialah kebun Bairuha’, yang terletak menghadap ke arah Masjid Nabawi. Rasulullah SAW sering masuk ke dalam kebun itu dan meminum air yang baik dari situ. Kata Anas: Apabila diturunkan ayat ini: “Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan (yang sempurna) sehingga kamu menafkahkan sebahagian dari apa yang kamu cintai.” (Surah Ali ‘Imran: 92), maka Abu Talhah pergi menghadap Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah menurunkan ayat ini, dan sesungguhnya harta yang paling aku sayangi ialah kebun Bairuha’. Maka aku sedekahkannya kerana Allah, aku harapkan kebaikan dan ganjaran yang berkekalan di sisi Allah. Oleh itu, wahai Rasulullah, gunakanlah ia sebagaimana yang Allah tunjukkan kepadamu.” Rasulullah SAW bersabda: “Bagus! Itu adalah harta yang menguntungkan, itu adalah harta yang menguntungkan. Aku telah dengar apa yang kamu katakan, dan aku berpendapat supaya kamu menyedekahkannya kepada kaum kerabatmu.” Lalu Abu Talhah berkata: “Aku akan lakukan, wahai Rasulullah.” Maka beliau membahagikan kebun itu kepada kaum kerabat dan sepupu-sepupunya.
(Hadis Riwayat Muslim, No: 998 – Status: Sahih)


---

Pengajaran:

1. Hadis ini mengajar umat Islam supaya berusaha mencapai darjat al-birr (kebaikan yang sempurna) dengan menyumbang sesuatu yang paling disayangi, bukan sekadar lebihan harta.


2. Tindakan Abu Talhah menjadi contoh keikhlasan tertinggi dalam bersedekah — beliau menyedekahkan kebun kurma Bairuha’ yang amat disayanginya. Imam Nawawi menyatakan tindakan ini menggambarkan ketakwaan dan pengorbanan sebenar.


3. Rasulullah SAW mengarahkan Abu Talhah menyedekahkan kebun tersebut kepada kaum kerabat. Ini menunjukkan bahawa sedekah kepada keluarga sendiri lebih utama jika mereka memerlukan. Dalam hadis lain:

الصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَهِيَ عَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ : صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ
“Sedekah pada orang miskin itu adalah sedekah semata-mata, sedangkan sedekah pada kerabat mengandungi dua hal — sedekah dan mengeratkan tali persaudaraan.”
(Riwayat Ibn Hibban, 3344)


4. Hadis ini menggambarkan zuhud dan keteguhan iman para sahabat — mereka tidak terikat dengan dunia dan sanggup mengorbankan harta berharga demi keredaan Allah SWT.




---

📅 17 Rabiul Akhir 1447H
📆 09 Oktober 2025M

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...