Wednesday, 17 September 2025

BERHATI-HATI DALAM BERBICARA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

BERHATI-HATI DALAM BERBICARA

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :
إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebab (kata-kata tersebut) ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.”
(HR Tirmizi No: 2314)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa sebahagian manusia memandang remeh perkataan yang diucapkannya sehingga dia tidak menyangka perkataan tersebut menjadi penyebab dia dihumban ke neraka. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 12/79).


2. Imam al-Nawawi menjelaskan dalam al-Adzkar bahawa hadis ini memberi peringatan tentang bahaya kata-kata yang kelihatan ringan pada pandangan manusia, tetapi besar di sisi Allah. Ia boleh mengandungi unsur syirik, penghinaan agama, fitnah, mengumpat atau menyakiti hati orang lain.


3. Menurut al-Qurtubi, kata-kata yang boleh menjerumuskan seseorang ke neraka termasuklah:
a. Mengucapkan kalimah kufur walaupun bergurau.
b. Menghina atau memperlekeh hukum Allah.
c. Menyebarkan fitnah dan berita palsu.
d. Mengumpat atau mencela orang lain.


4. Dalam menyampaikan info atau maklumat, seseorang mesti bertanggungjawab dalam segala ucapan dan penyampaiannya sama ada secara lisan mahupun tulisan.


5. Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, angka “70 tahun” adalah kiasan kepada masa yang sangat lama, menunjukkan betapa beratnya dosa perkataan tersebut.


6. Setiap info atau berita yang diucap atau ditulis mestilah benar dan tidak mengundang aib serta pembohongan. Firman Allah SWT:



إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ
(Surah An-Nur, 11)

Al-Maraghi berkata: Allah SWT menerangkan hukuman yang menimpa orang yang menyebarkan berita dusta; mereka akan menerima hukuman setimpal dengan peranan masing-masing. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4730).
7. Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menyebut bahawa kebanyakan dosa manusia berpunca daripada lidah. Satu perkataan boleh meruntuhkan maruah, memutuskan silaturrahim, bahkan membawa kekufuran.

Moga kita sentiasa berhati-hati dalam tutur kata, penulisan dan perkongsian maklumat termasuk di media sosial.

24 Rabiul Awwal 1447H
17 September 2025

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...