Friday, 19 September 2025

BERTAQWA WALAU DIMANA BERADA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

BERTAQWA WALAU DIMANA BERADA

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Daripada Abu Zar RA beliau berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku:
"Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan ikutilah setiap (amalan) kejahatan (dosa) dengan (amalan) kebaikan, nescaya ia akan menghapuskannya. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik."
(HR Tirmizi, No: 1987)
Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Taqwa kepada Allah SWT adalah kewajipan setiap Muslim dan menjadi benteng daripada maksiat.


2. Taqwa menurut Imam At-Tabari ialah beriman dan taat kepada Allah, meninggalkan larangan-Nya dan melaksanakan perintah-Nya serta berhati-hati daripada siksaan-Nya.


3. Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan takwa ialah menjaga diri daripada kemurkaan Allah dengan melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan. Arahan “di mana sahaja engkau berada” menekankan bahawa takwa mesti dipelihara sama ada ketika sendirian mahupun di khalayak.


4. Segerakan kebaikan setelah melakukan dosa, seperti beristighfar, bersedekah, berzikir dan menunaikan solat sunat.


5. Para ulama’ sepakat kebaikan hanya menghapuskan dosa kecil. Dosa besar tidak akan terhapus melainkan dengan taubat nasuhah.


6. Seorang Muslim perlu menjauhi kejahatan, memperbanyakkan kebaikan dan menghiasi diri dengan akhlak mulia.


7. Akhlak yang baik merangkumi sabar, lemah lembut, memaafkan, tidak menyakiti orang lain dan bersikap adil.



Bertakwalah walau di mana kita berada.
Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447H
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

27 Rabiul Awal 1447H
20 September 2025

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...