Sunday, 28 September 2025

TIGA DOSA DISEGERAKAN BALASANNYA DI DUNIA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

TIGA DOSA DISEGERAKAN BALASANNYA DI DUNIA

عَنْ بَكَّارِ بْنِ عَبْدِ الْعَزِيزِ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ جَدِّهِ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ‏:‏
كُلُّ ذُنُوبٍ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مِنْهَا مَا شَاءَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، إِلاَّ الْبَغْيَ، وَعُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ، أَوْ قَطِيعَةَ الرَّحِمِ، يُعَجِّلُ لِصَاحِبِهَا فِي الدُّنْيَا قَبْلَ الْمَوْتِ

Daripada Bakkār bin ‘Abd al-‘Azīz RA, daripada bapanya, daripada datuknya, daripada Nabi SAW, baginda bersabda:
“Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali perbuatan zalim (melampaui batas), derhaka kepada kedua ibu bapa, dan memutuskan silaturahim. Sesungguhnya Allah akan segerakan hukuman ke atas pelakunya di dunia sebelum kematiannya.”
(HR Abu Daud No: 4902) – Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Hadis ini menunjukkan Allah Maha Pengampun, kebanyakan dosa ditangguhkan balasannya hingga hari kiamat, kecuali beberapa dosa besar yang disegerakan azabnya di dunia.


2. Tiga dosa yang disegerakan balasannya di dunia:
i) الْبَغْي – Kezaliman: menindas, merampas hak orang lain, menganiaya atau menyakiti.
ii) عُقُوق الْوَالِدَيْن – Derhaka kepada ibu bapa: menyakiti, mengabaikan, bercakap kasar, enggan membantu, memalukan mereka.
iii) قَطِيعَة الرَّحِم – Memutuskan silaturahim: memutuskan hubungan dengan ahli keluarga.


3. Dosa yang melibatkan hak manusia (kezaliman, derhaka, memutuskan silaturahim) lebih berat kerana merosakkan hubungan sosial dan kekeluargaan.


4. Kezaliman adalah dosa yang mendatangkan kemurkaan Allah dan boleh membawa bala, kehilangan berkat atau kehancuran hidup.


5. Hormat dan taat kepada ibu bapa membawa keberkatan, sebaliknya kedurhakaan boleh menyebabkan rezeki tersekat, hati tidak tenang, umur tidak diberkati.


6. Menyambung silaturahim membawa keberkatan umur dan rezeki, manakala memutuskannya membawa kesempitan hidup dan kemurkaan Allah.


7. Hadis ini memberi peringatan supaya segera bertaubat kerana balasan dosa tertentu boleh berlaku sebelum mati, seperti hidup susah, ditimpa bala, dihina, atau kehilangan keberkatan hidup.



07 Rabiul Akhir 1447H
29 September 2025M

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...