السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
BERSALAWAT DALAM MAJLIS
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى الرَّجُلُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّةً فِي الْمَجْلِسِ أَجْزَأَ عَنْهُ مَا كَانَ فِي ذَلِكَ الْمَجْلِسِ
Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seseorang berselawat kepada Nabi SAW sebanyak sekali di dalam sesebuah majlis, maka ianya telah mencukupi sepanjang ia berada di majlis tersebut.”
(HR at-Tirmidzi No: 3468)
Status: Hadis Hasan Sahih
Pengajaran:
1. Majlis yang diberkati ialah majlis yang diisi dengan zikir, kalimah Allah dan selawat ke atas Nabi SAW.
2. Hadis ini menunjukkan sekurang-kurangnya sekali selawat dalam sesuatu majlis sudah memadai untuk menunaikan tuntutan selawat dalam majlis tersebut. Namun, menurut Imam al-Nawawi dalam al-Azkar, adalah lebih utama (afdhal) memperbanyakkan selawat.
3. Imam al-Sindi menjelaskan bahawa maksud hadis ini ialah seseorang yang berselawat sekali dalam majlis, tidak lagi dianggap lalai atau cuai dalam menunaikan hak Rasulullah SAW pada majlis itu.
4. Berselawat sekali dalam majlis sangat mudah dilakukan tetapi memiliki pahala yang besar, termasuk keampunan dosa.
5. Hadis lain menyebut bahawa:
مَنْ صَلَّى عَلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَمَلاَئِكَتُهُ سَبْعِيْنَ صَلاَةً، فَلْيُقِلَّ عَبْدٌ مِنْ ذَلِكَ أَوْ لِيُكْثِرْ
“Barangsiapa berselawat kepada Rasulullah SAW sekali sahaja, maka Allah dan para Malaikatnya akan berselawat kepadanya sebanyak tujuh puluh kali.”
(HR Ahmad No: 6605 – Hasan)
6. Sufyan As-Sauri berkata: Selawat para malaikat ialah doa memohon ampunan untuk orang yang berselawat.
7. Ibn Hajar al-‘Asqalani menegaskan selawat adalah doa, yang menjadi sebab turunnya rahmat Allah ke dalam majlis.
Marilah kita memperbanyakkan selawat, khususnya pada hari Jumaat, kerana ia mendekatkan kita dengan Rasulullah SAW.
19 Rabi‘ul Awwal 1447H / 12 September 2025
No comments:
Post a Comment