السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
KESEMPURNAAN IMAN DENGAN MENCINTAI RASUL
عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Daripada Anas RA ia berkata, Nabi SAW bersabda:
"Tidak sempurna keimanan seseorang di antara kalian hingga ia lebih mencintai aku daripada kedua orang tuanya, anaknya, dan manusia semuanya."
(HR Bukhari No: 15)
Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Kesempurnaan iman menuntut kecintaan yang sempurna kepada Rasulullah SAW.
2. Seorang mukmin mesti meletakkan cinta kepada Rasulullah SAW melebihi cinta kepada ibu bapa, anak-anak dan seluruh manusia.
3. Ibn Hajar al-‘Asqalānī menegaskan dalam Fath al-Bārī bahawa cinta kepada Rasulullah SAW wajib melebihi cinta kepada semua manusia lain kerana baginda adalah sebab terbesar kita mendapat hidayah dan keselamatan.
4. Cinta kepada Rasulullah SAW juga mesti mengatasi cinta kepada diri sendiri. Hal ini ditegaskan dalam kisah Umar al-Khattab RA bersama Nabi SAW (HR Bukhari No: 6632).
5. Cinta kepada Rasulullah SAW mesti berpaksikan cinta kepada Allah. Mencintai Rasulullah adalah sebahagian daripada cinta kerana Allah.
6. Kecintaan itu mesti ditunjukkan dengan lisan, tulisan dan perbuatan – taat kepada baginda, mengamalkan sunnah, dan menjadikan baginda teladan utama dalam ibadat serta kehidupan seharian.
🌹 Selamat memperingati kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW yang kita cintai.
🌹 Selamat menyambut Maulidur Rasul SAW 1447H
🌹 Selamat meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025
12 Rabi‘ul Awwal 1447H
05 September 2025
No comments:
Post a Comment