Friday, 5 September 2025

KEMANISAN IMAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ


---

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

KEMANISAN IMAN

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Daripada Anas bin Malik RA dari Nabi SAW, baginda bersabda:
“Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, maka dia akan merasai kemanisan iman: (1) hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada selain keduanya. (2) mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah. (3) dan benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka.”
(HR Bukhari No: 15)
Status: Hadis Sahih


---

Pengajaran:

1. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa halawatul iman (kemanisan iman) ialah rasa lazat dan tenang yang dirasai dalam hati apabila seseorang mencapai darjat cinta kepada Allah dan Rasul serta membenci maksiat.


2. Tiga perkara penting untuk mencapai kemanisan iman:

Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari segala-galanya di dunia.

Mencintai seseorang hanya kerana Allah, bukan kerana pangkat atau kedudukan.

Tidak mahu kembali kepada kekufuran setelah diselamatkan dengan hidayah, sebagaimana benci dicampakkan ke dalam api neraka.



3. Mencintai Rasulullah SAW menuntut penghormatan, ketundukan dan meneladani sunnah baginda.


4. Antara tanda cinta kepada Rasulullah SAW ialah mengamalkan sunnahnya, menghidupkan ajarannya, membela sunnah daripada orang yang menolak dan menyelewengkannya, serta menolak segala bentuk bid‘ah yang menyesatkan.


5. Ibnul Qayyim al-Jauziyyah menyatakan: setiap kecintaan kepada manusia mestilah dalam rangka mengikuti kecintaan kepada Allah, manakala cinta kepada Rasulullah SAW adalah penyempurnaan kecintaan kepada Allah.


6. Kemanisan iman hanya dapat dirasai apabila iman dihiasi dengan ketaatan, keikhlasan, kasih sesama mukmin kerana Allah, dan kebencian terhadap kekufuran.



Firman Allah SWT:

قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٣١

“Katakanlah: Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah Ali ‘Imran: 31)


---

🌸 Rabiul Awal ialah bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Marilah kita memperbaharui cinta kita kepada baginda dengan mengamalkan sunnah, memperjuangkan agamanya, dan menegakkan risalah Islam.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447H

📅 13 Rabiul Awal 1447H
📅 06 September 2025M

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...