السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
MENJAGA HAK SESAMA MUSLIM
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Ia tidak boleh menzaliminya dan tidak membiarkannya (diserahkan kepada musuh atau dalam kesusahan). Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan memenuhi hajatnya. Siapa yang menghilangkan satu kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan menghilangkan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan pada hari kiamat, dan sesiapa yang menutup aib seorang Muslim di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat."
(HR Bukhari No: 2262)
Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain.
2. Imam Nawawi menjelaskan hadis ini mengandungi prinsip asas ukhuwah Islamiyyah yang menuntut setiap Muslim melindungi, membantu, dan menjaga saudaranya.
3. Sebagai orang Islam, kita perlu menjaga hak orang Islam lain antaranya:
a. Tidak boleh berlaku zalim atau menganiaya dengan perbuatan, perkataan atau tindakan.
b. Tidak boleh membiarkan saudaranya dizalimi tanpa bantuan, bahkan wajib mempertahankan jika mampu.
4. Menjadi tanggungjawab membantu saudara yang memerlukan. Allah akan memperkenankan hajat mereka yang memenuhi hajat saudaranya.
5. Sesiapa yang menghilangkan kesusahan saudaranya, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari kiamat.
6. Sesiapa yang menutup aib saudaranya di dunia, Allah akan menutup aibnya di akhirat.
7. Menurut Al-Qadhi Iyadh, penutupan aib pada hari kiamat boleh bermaksud:
a. Allah menutup aibnya daripada pengetahuan manusia di padang mahsyar.
b. Allah tidak menghisab atau menyebut aibnya langsung.
8. Kita perlu berhati-hati menggunakan media sosial kerana membuka aib atau menfitnah termasuk perbuatan zalim. Namun, ia tidak bermaksud menyembunyikan kezaliman yang memudaratkan orang lain — menegur atau melaporkannya adalah lebih utama.
23 Rabiul Awal 1447H
16 September 2025
No comments:
Post a Comment