Monday 20 February 2017

BERBEZA PENDAPAT??? ADA ADABNYA

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

BERBEZA PENDAPAT??? ADA ADABNYA

Allah SWT menciptakan manusia berasal dari keturunan iaitu Adam dan hawa. Dan beragama dengan agama yang satu iaitu agama Tauhid. Allah SWT berfirman dalam al-Qur'an: Surah Yunus, ayat 19:

وَمَا كَانَ النَّاسُ إِلَّا أُمَّةً وَاحِدَةً فَاخْتَلَفُوا وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ فِيمَا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ
"Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada mulanya tidak memeluk melainkan agama yang satu (agama Allah), kemudian (dengan sebab menurut hawa nafsu dan bisikan Syaitan) mereka berselisihan. Dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga hari kiamat, tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka (dengan segeranya di dunia) mengenai apa yang mereka perselisihkan itu".

Namun sejarah perjalanan umat manusia yang merubah segalanya, dari umat yang satu pada asalnya, menjadi umat yang beragam dengan perbezaan pendapat (ikhtilaf).

Perbezaan dalam kehidupan merupakan Sunnatullah (ketetapan Allah) di dalam alam ini. Semua makhluk ciptaan Allah sedikit sebanyak pasti ada perbezaan. Sama ada bentuknya, rupanya, warnanya, ukurannya, pemikirannya dan lain sebagainya. Hal ini menunjukkan Rahmat Allah SWT kepada makhluknya.

Allah menciptakan manusia terdiri dari berbagai suku, bangsa, bahasa serta adat budaya dan pemikiran yang berbeza. Namun demikian apabila di antara kita berbeza pola fikir dan pendapat antara satu dengan yang lain dalam semua aspek kehidupan. Islam mengajarkan kepada kita adab dalam perbezaan pendapat tersebut.

Adapun adab dan etika dalam menghadapi perbezaan pendapat tersebut diantaranya adalah:

1. Berlaku Adil Kepada Orang Yang Sehaluan Pendapat Dengan Kita.
Apabila orang yang berpendapat sama haluan dengan kita. Maka keadilan tetap mesti ditegakkan. Dalam erti kata yang benar katakan benar dan yang salah katakan salah. Jangan kerana haluan yang sama, menjadikan pendapat yang salah pun jadi benar. Ataupun jika orang yang sehaluan berbeza pendapat, maka jangan kita menyalahkan jika pendapat itu adalah benar.

2. Berlaku Adil Kepada Orang Yang Tidak Sehaluan Pendapat Dengan Kita.
Orang lain yang berbeza pendapat dengan kita, keadilan mesti kena ditegakkan. Jika orang yang tidak sependapat dengan kita berkata benar, maka katakan yang benar adalah benar. Jangan hanya kerana tak sehaluan, kita menolak kebenaran. Ini yang banyak berlaku sekarang, hanya kerana perbezaan dengan orang yang tidak sehaluan, kita menolak kebenaran yang hakiki, padahal itu adalah kebenaran.

3. Bekerjasama Di Dalam Perkara Yang Disepakati.
Jika ada perkara benar yang tidak ada perbezaan pendapat. Maka kerjasama sangat diperlukan untuk menegakkan kebenaran meskipun di antara kita berbeza pendapat. Imam mazhab yang Empat (Hanafi, Maliki, Syafi'i, Hambali) berbeza pendapat dalam satu-satu masalah, tetapi bersepakat dan bekerja sama dalam masalah yang lain.

4. Berdialog Dengan Cara Yang Baik Dengan Orang Yang Berbeza Pendapat Untuk Mencari Titik Pertemuan Yang Positif.
Jika di antara kita saling berselisih pendapat, salah satu langkah untuk meredakan perbezaan pendapat tersebut adalah dengan mengadakan dialog terbuka untuk mencari titik pertemuan yang baik, atau untuk mengecilkan jurang perbezaan pendapat tersebut.

5. Bersikap Toleransi Dengan Orang Yang Berbeza Pendapat.
Jika dialog yang diadakan, tidak mendapatkan titik pertemuan yang diharapkan, maka masing-masing orang yang berbeza pendapat harus bersikap terbuka dan toleransi dengan orang yang berbeza. Jangan hanya nak menang sendiri dengan menyalahkan pihak lain.

6. Menjaga Adab Dan Menghormati Perbezaan Pendapat Ulama.
Jika kita berpegang pada pendapat ulama yang tidak sama dengan pendapat ulama yang lain, jangan kita menyalahkan ulama yang berbeza pendapat dengan kita, dengan mengatakan ulama ini tak betul. Siapalah kita, nak menyalahkan imam Syafi'i atau Imam al Ghazali atau ulama muktabar lainnya dari tahap keilmuan kita?????

7. Jangan Terlalu Mudah Menghukum Fasik Atau Berdosa Atau Kafir Atau Musuh Terhadap Orang Yang Berbeza Pendapat.
Perbezaan pendapat kadang-kadang akan menimbulkan perpecahan dan perbalahan. Jika pihak yang berbeza pendapat dengan begitu mudah menghukum orang lain yang berbeza dengan hukuman fasik, berdosa, bid'ah, atau mengkafirkan orang lain yang tak sependapat dengan kita tanpa perbincangan dan usul periksa terlebih dahulu.

8. Bersedia Untuk Mengalah Dan Menggugurkan Pendapat Sendiri Jika Diperlukan.
Di antara adab ikhtilaf yang mulia adalah bersedia untuk mengalah dan menggugurkan pendapat peribadi demi kepentingan bersama. Jangan keegoan dan kesombongan peribadi menolak kebenaran orang lain yang tidak sependapat dengan kita. Dengan memaksakan pendapat peribadi kita lah yang paling benar.

Ya Allah Ya Rahmaan Ya Rahiim, di hari hari yang mulia ini, satukanlah hati dan jiwa umat Islam yang berselisih. Jadikan perbezaan pendapat di antara kami sebagai Rahmat dariMu. Jangan Engkau jadikan perbezaan pendapat antara kami sebagai suatu Albala' dan Al'azab serta perpecahan bagi kami. Mudah-mudahan RahmatMu menerangi seluruh alam ini. Aamiinn Ya Robbal 'Alamiin !!!!!

Wallahu A'lam.

Panjang-panjangkan pada sahabat lain walau sepotong ayat walaupun hanya sekilas pandang….

Jazakumullahu khairanjaza’..
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat.
Wassalam

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...