Monday 20 February 2017

RACUN UTAMA BAGI HATI!!!

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Hati merupakan satu organ dalam tubuh manusia yang memiliki fungsi sama dengan fungsi otak manusia. Sama ada mengarah pada kebaikan atau sebaliknya.

Dalam kaitannya dengan tubuh badan manusia, hati diibaratkan sebagai raja yang mengarahkan tenteranya untuk melakukan sesuatu yang diperintahkannya. Panca indera diarahkan untuk melaksanakan perintahnya. Ia boleh membawa panca indera pada jalan positif atau negatif.

Hati akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah apa yang telah dilakukannya sebagai mana panca indera yang lainnya. Allah SWT berfirman dalam al-Qur'an, Surah Al-Isra', ayat 36:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya".

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ingatlah, pada jasad itu terdapat segumpal darah, jika ianya baik, baiklah keseluruhan jasad, rosak, maka rosaklah keseluruhan jasad, sesungguhnya ia adalah hati".
(HR. Bukhari dan Muslim).

Justeru, TAZKIRAH hari ini, sedikit perkongsian tentang racun utama yang merosakkan hati sanubari manusia dalam hidup. Jika racun hati dibiarkan, maka akan mengakibatkan seluruh badan kita akan menjadi negatif adanya.

Ada 4 racun yang sangat berbahaya yang dapat merosakkan hati sanubari manusia iaitu:

1. Bercakap Dengan Berlebih-lebihan (Fudhul al-Kalam).
Lidah merupakan racun utama manusia yang akan merosakkan manusia itu sendiri. Seperti berbohong, memfitnah, bergaduh, memaki hamun dan sebagainya perkara yang berkaitan dengan lidah.

Rasulullah SAW Bersabda yang bermaksud: "Tidak lurus keimanan seseorang, sehingga lurus hatinya, dan tidak lurus hatinya sehingga lurus lidahnya". (HR Ahmad)

2. Memandang Secara Berlebih-Lebihan (Fudhul al-Nadzar).
Memandang secara berlebihan mungkin mempunyai makna sebagai minta belas kasihan atau pandangan yang mengandungi nafsu dan syahwat, yang pada akhirnya akan membawa kepada keburukan dari pandangan tersebut. Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nuur, ayat 30:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah SWT Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan".

3. Makan Minum Yang Berlebih-lebihan (Fudhul at-Tha'am).
Makan dan minum merupakan prasyarat dalam melaksanakan kehidupan. Tanpa makan minum, secara sunnatullahnya. manusia tidak dapat menjalankan kehidupan dengan normal.

Namun demikian, umat islam dalam hal yang berkaitan dengan makanan dan minuman wajib memperhatikan perkara yang berkaitan dengan sumber makanan dan minumannya, barang yang dimakan dan diminumnya, serta kuantitinya. Allah swt berfirman dalam al-Qur'an, Surah Al-Baqarah, ayat 168:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
"Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu".

4. Pergaulan Yang Berlebih-lebihan (Fudhul al-Mujhalathah).
Pergaulan diibaratkan seperti makanan ataupun ubat ataupun penyakit ataupun racun yang ianya dilakukan sekadar yang termampu. Kerana jika kita tidak membatasi pergaulan, maka manusia akan terjerumus kepada pergaulan bebas yang akan menjerumuskan manusia kepada jurang kebinasaan.

Ya Allah jauhkan hidup kami dari racun-racun kehidupan yang akan merosakkan kami dan generasi kami. Jadikan hidup kami memberi kemanfaatan dalam hidup kami, bagi diri kami, keluarga kami, masyarakat kami, dan agama yang kita cintai. Mudah-Mudahan hidup kami berjaya di dunia dan di akhirat. Aamiinn Ya Robbal 'Aalamiin !!!!!

Wallahu A'lam.

Panjang-panjangkan pada sahabat lain walau sepotong ayat walaupun hanya sekilas pandang….

Jazakumullahu khairanjaza’..
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat.
Wassalam

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...